Ada lebih 1,500 spesies di dunia... Ketahui jenis, jangka hayat kurma dibawa masuk ke Malaysia
KURMA menjadi makanan penting setiap kali kedatangan Ramadan.
Kurma atau juga disebut tamar menjadi hidangan wajib kebanyakan umat Islam ketika bersahur mahupun berbuka puasa.
Tapi tahukah anda, kurma merupakan antara tumbuhan tertua yang ditanam oleh manusia dan menjadi makanan penting sejak dahulu lagi terutama di negara-negara Asia Barat (Timur Tengah) seperti Arab Saudi, Iran, Iraq dan Mesir.

Secara keseluruhan, terdapat lebih daripada 1,500 spesies kurma di seluruh dunia, dengan spesies kurma utama yang dikomersialkan adalah dari jenis Phoenix Dactylifera.
Kurma jenis ini mempunyai 12 hingga 21 sub-spesies berbeza dari segi bentuk yang disebabkan oleh kepelbagaian kompisis kimia di dalamnya.
PASARAN MALAYSIA
Pengimport dan pengedar kurma untuk pasaran tempatan, Hairun Nisa Halik Chandra, 35, dari Al Sultan Food, terdapat lebih daripada 20 jenis kurma yang lazimnya dibawa masuk ke Malaysia untuk keperluan pasaran tempatan.
"Kami merupakan antara pengimport kurma dari pelbagai negara seperti Arab Saudi, Iran, Jordan, Tunisia, Algeria, Mesir dan Libya.
"Antara jenis kurma yang biasa ditemui di pasaran tempatan seperti Ajwa, Safawi, Mabroom, Sukkary, Medjool, Khudri, Sayer dan Mariami.
"Kurma Ajwa yang juga disebut sebagai 'kurma Sunnah' hanya tumbuh di Madinah sahaja, manakala kurma Safawi, Mabroum dan Sukkary berasal dari beberapa kawasan di Arab Saudi," katanya kepada Kuali.

Sementara itu tambah Nisa, kurma jenis Medjool pula berasal dari Palestin, Jordan, Tunisia dan Mesir.
Bercakap tentang tekstur dan rasa setiap jenis kurma pula, Nisa yang menjalankan perniagaan bersama suami, Shawqi Al-Yafei memberitahu setiap jenis kurma ada keunikan tersendiri dari segi rasa dan warna.
Berikut merupakan butiran mengenai tekstur dan rasa setiap jenis kurma:

1. Ajwa
Memiliki kulit berwarna hitam dengan tekstur kering, berkedut dan kenyal. Rasanya manis semula jadi sederhana sehingga menjadi antara pilihan utama untuk mereka yang tidak menyukai kurma dengan rasa terlalu manis. Dari segi kualiti, kurma Ajwa asli tidak melekit dan tidak terlalu berair.

2. Medjool
Juga dikenali sebagai 'ratu kurma' kerana saiznya yang besar. Tekstur kurma Medjool sangat lembut, lembap dan sedikit melekit. Rasanya sangat manis seperti madu atau caramel, manakala kulitnya berwarna coklat kemerahan.

3. Safawi
Mempunyai isi tebal berwarna hitam pekat dengan tekstur yang lembut tetapi kenyal. Kulitnya nipis dan berkilat dengan rasa semula jadi yang tidak terlalu muak. Kurma Safawi sering menjadi pilihan bagi mereka yang menggemari kurma dengan rasa manis tapi tidak melampau.
MENARIK DIBACA: Peniaga bazar perlu patuh 4 syarat ini sebelum berniaga, pakai cincin antara larangan ketika kendali makanan
MENARIK DIBACA: Serik kejadian lalu, wanita kini lebih tenang selepas letak label pada tong gas

4. Mabroom
Memiliki bentuk panjang, tirus dengan kulitnya berwarna coklat dan berkedut. Isi kurma Mabroom agak kenyal dan padat dengan rasa manis caramel seimbang namun tidak memualkan.

5. Sukkary
Terkenal kerana teksturnya yang sangat lembut, empuk dan 'juicy'. Kulitnya berwarna kuning atau coklat keemasan dengan rasa yang sangat manis seperti madu. Kurma Sukkary berasal dari perkataan Arab iaitu 'sukkar' yang bermaksud gula dan dianggap sebagai salah satu kurma premium.

6. Khudri
Mempunyai tahap kemanisan sederhana, tidak terlalu pekat dengan rasa caramel lembut. Kulitnya berwarna coklat gelap kehitaman dan agak berkedut. Teksturnya lembut, kenyal dan sedikit kering menjadikan kurma Khudri kurang melekit berbanding kurma jenis lain.

7. Sayer
Memiliki bentuk panjang dan bujur dengan tekstur kulit yang nipis. Kurma Sayer bermula dengan warna kuning kemudian beralih menjadi kuning gelap, coklat atau merah setelah masak. Turut dikenali dengan nama lain seperti Stamaran, Saamaran, Stamara dan Samberun

8. Mariami
Memiliki rasa manis semula jadi yang seimbang dan tidak keterlaluan. Isinya lembut, kenyal dan padat. Kurma Mariami mempunyai tekstur kulit nipis berwarna coklat kehitaman dan tidak melekit.
Terdapat satu lagi kurma yang dianggap istimewa iaitu kurma muda yang telah disejuk bekukan dipanggil Ruthob atau Rutab.
Istimewanya, kurma bersaiz besar itu memiliki khasiat dan kebaikan sama seperti buah-buahan.

"Kurma sejuk beku ini mempunyai serat dan air yang tinggi.
"Keistimewaannya jika dimakan, ia boleh membuatkan seseorang itu berasa kenyang dalam tempoh yang lama iaitu sehingga lapan jam.
"Jadi kurma sejuk beku ini sangat sesuai dimakan ketika bulan puasa," ujarnya.

Dari segi ketahanan, kurma mampu bertahan sehingga dua tahun selepas dituai dan disimpan di tempat yang bersih dan sejuk.
Menurut Nisa, kurma yang disimpan di suhu bilik hanya mampu bertahan sehingga enam bulan dan peluang untuk kurma menjadi rosak sangat tinggi terutama apabila kurma tersebut sudah mula berhabuk.
"Jadi saya syorkan, selain membasuh kurma sebelum dimakan, kopek dahulu isinya untuk memastikan kebersihan pada buah kurma.

"Di dalam buah kurma mungkin terdapat kotoran seperti debu serta serangga kecil yang mungkin bersembunyi dan bertelur di dalamnya," jelas Nisa.
Kurma bukan sekadar buah, tetapi menjadi simbol identiti dan warisan budaya umat Islam yang kuat terutama kerana kaitannya yang rapat dengan sunah Rasulullah SAW dan sejarah Islam.
Selain itu, pokok kurma sendiri sering dikaitkan dengan perjuangan Islam dan disebutkan sebagai salah satu tumbuhan syurga yang ada di bumi.
