Awalnya dapat tapak tengah, tiba-tiba 'dicampak' ke lot hujung! Peniaga bazar Ramadan risau jualan tak laku
KETERUJAAN seorang peniaga yang pertama kali menyertai bazar Ramadan bertukar menjadi kekecewaan apabila tapak dianggap strategik secara tiba-tiba diberikan kepada orang lain.
Menerusi perkongsian wanita itu di laman Threads, tahun ini pertama kali dia berniaga nasi berlauk di tapak bazar sekitar Nilai, Negeri Sembilan.
Demi merealisasikan impian tersebut dia sanggup meminjam wang daripada kenalan dan ahli keluarga bagi menampung kos sewa tapak berjumlah RM1,100.
“Saya jadi orang pertama mendaftar sebab nak tempat strategik,” kongsinya.

Dia bersyukur usahanya itu berhasil apabila dia memperoleh tapak nombor 37 daripada keseluruhan 140 lot yang disediakan.
Baginya, kedudukan itu cukup melegakan kerana menganggap kedudukan tapak memainkan peranan penting untuk menarik perhatian pelanggan.
Namun, kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila dia menerima panggilan daripada pihak penganjur yang memaklumkan tapaknya terpaksa ditukar.
Lebih mengecewakan, tapak baharu itu terletak di bahagian paling belakang bazar.
MENARIK DIBACA: Elok makan telur kalau kena bisul, bukan penyebab jangkitan lambat sembuh
MENARIK DIBACA: Mulut bau bangkai walaupun jaga kebersihan oral, hati-hati 5 penyakit ini boleh jadi punca
Walaupun tapaknya terletak dekat dengan laluan keluar masuk pengunjung, dia tetap berasa sedih dan terkilan.
“Entah kenapa rasa macam ada ‘kroni’ pula. Tak patutlah tapak (peniaga lain) nombor 100 ke atas boleh berada di tengah, saya pula dipindahkan ke belakang,” luahnya.
Tambah wanita itu, dia bukan tidak percaya kepada konsep rezeki namun sebagai peniaga baharu dan telah mengeluarkan modal besar sudah pastinya dia inginkan keuntungan.

"Saya bimbang sekiranya jualan tidak laku dan sukar untuk melangsaikan hutang sewa tapak," katanya lagi.
Mengenai makanan yang dijual, wanita ini menjual empat jenis lauk berasaskan ayam termasuk ayam gepuk, ayam balado, ayam sos dan ayam goreng kunyit.
Perkongsian tersebut bagaimanapun mengundang pelbagai reaksi daripada warga maya yang tampil memberikan pandangan dan kata-kata semangat.
Ada yang berpendapat, kedudukan di bahagian hujung sebenarnya berpotensi menarik lebih ramai pelanggan.

“Silap-silap gerai awak lagi ramai orang beli. Selalunya pelanggan malas nak jalan sampai tengah kalau menu lebih kurang sama. Mereka akan beli di gerai awal atau hujung. Cuba fikir positif dan banyakkan doa,” tulis seorang pengguna.
Seorang lagi netizen turut menenangkan wanita itu dengan mengingatkan bahawa rezeki tidak bergantung pada nombor atau lokasi semata-mata.
“Rezeki tak kira nombor dan tempat. Awak usaha cari pendapatan halal, insya-Allah ada hasilnya. Bazar pun baru mula, jangan terlalu pening fikir jualan. Semoga dipermudahkan dan selamat berpuasa.
“Persembahan cantik, nampak sedap dan banyak pilihan. Ramai akan beli nanti,” antara komen netizen.
