Shafiq Cute layan isteri hamil bak permaisuri, siapkan aneka lauk 'frozen' untuk berbuka sepanjang Ramadan
PEMPENGARUH masakan, Shafiq Cute menjadi perhatian selepas berkongsi beberapa menu berbuka puasa yang telah dibekukan (frozen) sepanjang bulan Ramadan bagi memudahkan rutin menyediakan hidangan berbuka puasa selepas pulang bekerja.
Selain tidak mahu kelam kabut di dapur menyediakan juadah berbuka puasa, Shafiq atau nama sebenarnya Mohd Shafiq Zulkarnain juga tidak mahu isteri kesayangannya yang sedang hamil anak kedua penat.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik lelaki berusia 32 tahun itu di Instagram miliknya, Shafiq berkongsi masakan yang telah disediakan untuk dibekukan di dalam peti sejuk.

"Bulan puasa tahun ini, daddy cute (panggilan dirinya) akan masak banyak menu berbuka kesukaan mummy (isteri) untuk disejuk beku.
"Ini akan memudahkan urusan seharian kami yang bekerja dan perlu menghadap kesesakan jalan raya.
"Kalau tersangkut (dalam kesesakan), faham-faham sahajalah macam mana, masa pun tak cukup nak masak menu berbuka," tulisnya dalam Instagram.
MENARIK DIBACA: Asyik menguap lepas sahur? Pelajar perubatan kongsi menu 'anti mengantuk' guna formula 'F-P-C Rule'
MENARIK DIBACA: Pengalaman aneh beli bubur candil... Peniaga 'kreatif' olah resipi, guna isi makaroni
Menerusi gambar yang dikongsikan, kelihatan beberapa menu yang sedia untuk dibekukan antaranya ikan masak pindang, daging masak hitam, ayam masak lemak, ikan masak asam pedas dan kari ayam.
Kongsinya lagi, apabila pulang ke rumah dia hanya perlu masak nasi dan panaskan semula lauk yang telah dibekukan, sekali gus dapat menjimatkan masa.

"Bila menu utama dah siap dan disejuk bekukan, kerja di dapur jadi mudah.
"Panaskan saja lauk dan masak nasi dan sayur berkuah yang baby (anak) suka makan.
"Daddy tak sampai hati tengok mummy cute (isteri) keletihan. Sebagai suami kenalah ringankan tugas isteri," katanya.

Apa yang dilakukan Shafiq ini dipuji oleh pengikutnya kerana melayan isteri yang sedang sarat hamil umpama permaisuri.
Netizen berpandangan sikap dan tanggungjawab yang ditunjukkan Shafiq yang tidak mahu menyusahkan isteri memang layak dipuji, malah mereka turut menganggap wanita itu sangat bertuah kerana memiliki suami bertanggungjawab dan bijak.
"Alhamdulillah suami yang sangat memahami isteri.
Daddy tak sampai hati tengok mummy cute keletihan. Sebagai suami kenalah ringankan tugas isteri.
SHAFIQ CUTE
"Bagus daddy cute sama-sama tolong, untung sangat mummy cute.
"Seronoknya dapat suami suka bantu di dapur," demikian antara komen netizen.
Shafiq sudah dikenali ramai sejak berstatus bujang kerana sering berkongsi video memasak di media sosial.
Selain terkenal dengan konten-konten masakan, senyuman manis yang tak pernah lekang di bibir ketika memasak membuatkan ramai terpesona dengannya.
