Banduan didakwa jarang mandi, kuih raya dibuat kotor? Ini penjelasan KP Jabatan Penjara
MENJELANG musim perayaan, pelbagai dakwaan tular di media sosial termasuk penghasilan kuih raya oleh banduan di penjara yang dikatakan tidak bersih.
Namun, hasil semakan oleh MyCheck mendapati dakwaan tersebut adalah tidak benar dan tidak berasas.
Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Abdul Aziz Abdul Razak berkata setiap penghuni penjara diwajibkan menjaga kebersihan diri termasuk mandi sebelum terlibat dalam penyediaan makanan.

Dalam satu kenyataan, Abdul Aziz menegaskan banduan sentiasa berada dalam keadaan bersih ketika menghasilkan kuih raya atau produk makanan lain sekali gus menafikan dakwaan bahawa mereka tidak mandi setiap hari.
MENARIK DIBACA: [V] Liza Hanim ajar anak-anak buat ketupat, mahu seni anyaman terus terpelihara
MENARIK DIBACA: Rambang mata dibuatnya! ‘Syurga’ kek klasik ada di Taman Melawati
Dalam masa sama, katanya, proses penyediaan makanan di penjara bukan dilakukan secara sewenang-wenangnya sebaliknya tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ketat dan mempunyai Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM).
Malah, setiap penghasilan produk makanan turut dipantau rapi serta mematuhi piawaian keselamatan makanan ditetapkan pihak berkuasa.

Isu ini timbul susulan tularnya satu komen media sosial yang mempertikaikan tentang kebersihan kuih raya dihasilkan oleh banduan memandangkan mereka tidak mandi setiap hari dan perlu mengikut jadual.
Dakwaan ini dikatakan dibuat oleh staf penjara.
Susulan kenyataan oleh Abdul Aziz, orang ramai tidak perlu ragu-ragu atau bimbang untuk membeli kuih raya yang dihasilkan oleh banduan kerana kebersihan dan keselamatannya adalah terjamin.
Untuk sebarang pertanyaan boleh semak di laman web rasmi mycheck menerusi https://www.mycheck.my/
Selain orang ramai juga boleh berkunjung ke Galeri Produk My Pride untuk mendapatkan kuih raya dibuat oleh bantuan.
