Bunga, coklat dah biasa! Lelaki cari jodoh guna 'strategi' nanas, Musang King
MACAM-macam cara orang mencari jodoh, ada yang berkenalan melalui aplikasi, ada pula yang diperkenalkan oleh keluarga.
Bagaimanapun, pendekatan lelaki ini ternyata mencuri perhatian apabila tampil dengan cara santai dan kreatif.
Menggunakan tema ‘buah kegemaran’, lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Irfan Mikhail mencuba nasib mencari pasangan hidup dengan berkongsi minatnya terhadap buah-buahan sekali gus mengundang reaksi netizen.
Perkongsiannya di Threads menjadi tular apabila dia secara bersahaja meluahkan hasrat mencari jodoh 'sekepala' khususnya dalam bab makanan.

"Mencari jodoh suka juga makan nanas MD2. Ni la dapur rumah saya. InsyaAllah saya pastikan beras saya beli cukup untuk bakal keluarga kecil kita nanti.
"Tinggal nak halalkan awak je lagi," tulisnya di Threads.
Irfan turut 'menambah perisa' dalam usahanya memikat hati calon isteri dengan menyelitkan minatnya terhadap buah durian dalam satu lagi hantaran.
MENARIK DIBACA: Ketahui sebab Jepun tunjuk gambar petani pada sayur, buah-buahan ditanam dan dijual di pasar
MENARIK DIBACA: [V] Emelda masuk dapur sedia juadah hari raya, Adlin Aman Ramlie kata orang Jawa kena ada lontong
"Kepada bakal jodoh saya. Selain nanas saya juga 'hantu' Musang King. Tak marah kan rumah kita bau durian nanti?" katanya lagi.
Di ruangan komen, rata-rata netizen terhibur dengan pendekatan unik tersebut, malah ada yang tidak melepaskan peluang untuk ‘menyambung cerita’ dengan pelbagai gurauan lucu.
Antara komen mencuit hati termasuklah tawaran menjadi ‘menantu segera’ dengan dibekalkan nanas tanpa had, selain ada juga yang berseloroh memiliki ladang nanas sendiri.
Tidak kurang juga yang mengingatkan tentang cabaran yang menanti, seperti perlu membantu mengupas kulit nanas, malah ada yang mengakui pertama kali melihat ‘strategi mencari jodoh’ menggunakan buah, berbanding coklat atau bunga.

"Hahahahaha. Saya ada ladang MD2 farm. Nak borong roger (beritahu) ye.
"Janji awak tolong kupas mata nanas eh?
"Kali pertama nampak orang cari jodoh pakai 'umpan' nanas MD2. Selalunya orang bawa coklat, ni bawa nanas terus.
"Orang cakap tart nenas saya sedap. Jem nanas saya peram sendiri, mungkin lain kali boleh cuba nanas MD2 ke?" antara komen netizen.