Lipas dalam minuman, pelanggan kecewa pemilik kedai anggap insiden 'tak logik'!
SEORANG wanita meluahkan rasa kesal dan kecewa apabila mendakwa terdapat lipas dalam minuman yang dihidangkan di sebuah restoran masakan Thai di Kedah, baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di Threads, wanita berkenaan berkata dia hanya menyedari kewujudan serangga itu selepas minum lebih separuh minuman tersebut.
"Memang saya minum dah banyak sebab masa awal-awal tak perasan langsung tapi bila dah minum banyak baru rasa pelik... macam bau busuk lipas. Bila suami periksa, memang nampak jelas ada lipas dalam minuman,” dakwanya.
Lebih mengecewakan apabila wanita itu turut mendakwa pihak pengurusan restoran tidak bertanggungjawab dalam mengendalikan isu berkenaan.

Menurutnya, pekerja restoran tidak menolak kemungkinan kecuaian berlaku dari pihak premis namun situasi menjadi tegang apabila pemilik menghubunginya.
"Pemilik restoran call bukan nak minta maaf, tapi terus berdebat. Siap cakap tak logik ada lipas dalam air tu. Macam nak tuduh saya pula yang masukkan,” katanya.
Tambahnya lagi, pihak restoran bertindak membatalkan bil sebagai penyelesaian namun baginya perkara itu bukan isu utama.
MENARIK DIBACA: Tak sedar risiko... Ramai buat 5 kesilapan ini ketika simpan, kendali tong gas
MENARIK DIBACA: Memang sedap kalau dibuat bakar, ini antara khasiat mentarang laut untuk tubuh
"Bil bukan masalah...saya dah minum entah berapa banyak lipas masuk pun tak tahu. Sangat biadab," luahnya.
Perkongsian itu turut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya meluahkan rasa jijik dan marah.
Malah, seorang pengguna turut berkongsi pengalaman hampir sama ketika mengunjungi restoran tersebut.

"Memang tak payah pergi dah kedai ni. Hari tu pergi berbuka puasa walaupun dah buat tempahan sehari sebelum, satu keluarga kena tunggu sebab meja yang staf tempah tu masih ada pelanggan lain tengah makan. Kami duduk di tempat makan selepas orang dah azan.
"Waktu tengah cedok makanan, ada jumpa plastik polisterin dalam 'butter prawn'. Tak tahulah bekas polisterin apa. Bila beritahu staf, staf pun tak boleh nak jawab dan bagi jawapan yang sambil lewa," antara komen pengguna yang mendakwa pernah makan di kedai berkenaan.
Dakwanya lagi, keadaan premis itu juga tidak memuaskan dari segi kebersihan.
"Dalam bekas tisu di kaunter tu pula ada banyak lipas, dalam empat hingga lima ekor lipas saiz sama macam dalam video ni. Memang takkan jejak dan pergi dah kat kedai ni. Jijik dan tak bertanggungjawab langsung," dakwanya.