TikToker disahkan leukemia, mengaku dah bertahun-tahun tak sentuh air kosong
SEORANG TikToker mengejutkan pengikutnya apabila dia muncul dengan kepala dicukur sebagai persediaan untuk rawatan sakit leukemia.
Pada 19 Mei lalu, Dan Thy yang turut dikenali sebagai An Thy menarik perhatian ramai apabila menyiarkan video mengumumkan dirinya didiagnosis leukemia pada usia 23 tahun.
Menurut TikToker berasal dari Vietnam itu, selama beberapa tahun membuat kandungan dia mengamalkan rutin hidup yang tidak sihat.

"Saya berjaga sehingga 7 pagi dan terlalu kerap mengambil minuman manis malah hampir tidak minum air selama bertahun-tahun.
"Pada satu ketika saya boleh mengambil sehingga lima gelas minuman bergula seperti bubble tea (boba) dalam sehari secara berterusan selama kira-kira tiga tahun.
"Saya hampir tidak pernah minum air botol," kongsinya dalam video itu.
MENARIK DIBACA: Satu suapan dah terpukau! Ini cara mudah buat 'burnt cheesecake' rasa premium, guna bahan ringkas je
MENARIK DIBACA: Kafe Jepun jual latte pada suhu paling ekstrem di dunia, kena habiskan dalam masa 40 saat sebelum beku
Mempunyai lebih 11 juta pengikut, wanita itu cuba mengekalkan pemikiran positif untuk melawan penyakitnya walaupun menghadapi banyak perubahan dalam penampilan dan kesihatan.
Katanya, dia tidak mengambil alkohol atau bahan perangsang, justeru menyangka dirinya sihat kerana masih muda.
Sikap sambil lewa itu menyebabkan dia kurang memberi perhatian kepada kesihatannya dan mengabaikan gaya hidup sihat.
Walaupun mengalami kejutan besar, dia berkata akan cuba mengekalkan semangat optimistik untuk meneruskan rawatannya.

Video dia mengumumkan penyakitnya mendapat lebih 49.1 juta tontonan setakat ini.
Jika kesihatan mengizinkan, dia akan terus mengemas kini perjalanan rawatannya untuk menyebarkan kesedaran tentang penjagaan kesihatan kepada masyarakat.
Dan Thy, atau nama sebenarnya Bui Dan Thy, dilahirkan pada 2003 dan menjadi terkenal di TikTok hasil transformasi, solekan dan video-video trendingnya.
Selain pengikutnya yang ramai di media sosial, dia juga menarik perhatian kerana menjalani pelbagai pembedahan kosmetik untuk mengubah penampilannya.