Makan ayam mentah jadi kegilaan di Jepun, kerajaan diminta campur tangan
TREND menikmati ayam mentah kini semakin popular di pelbagai restoran di Jepun sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Mana tidaknya, ayam yang tidak dimasak atau separuh masak berisiko menyebabkan keracunan makanan akibat bakteria Campylobacter dan Salmonella.
Memetik laporan media, kebanyakan restoran di Jepun kini menawarkan hidangan 'chicken tataki', iaitu ayam yang hanya dipanggang seketika pada bahagian luar, manakala bahagian dalamnya kekal mentah atau separuh masak.
Berbeza dengan ikan segar yang lazim dihidangkan mentah, daging ayam mempunyai risiko pencemaran bakteria jauh lebih tinggi.

Jangkitan bakteria tersebut boleh menyebabkan cirit-birit, demam dan sakit perut.
Dalam kes tertentu, ia juga boleh mencetuskan sindrom Guillain-Barré, iaitu penyakit yang menyerang sistem saraf dan berpotensi menyebabkan kelumpuhan.
Walaupun hidangan itu sudah menjadi tradisi di beberapa wilayah Jepun, ramai warganya berpendapat kerajaan perlu memperkenalkan peraturan yang lebih ketat berhubung perkara itu.
MENARIK DIBACA: Pakar tak galakkan basuh ayam mentah sebelum dimasak, ini sebabnya!
MENARIK DIBACA: 28 tahun minum susu lembu mentah, warga emas dijangkiti tibi
Susulan itu, Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun mengumumkan sedang merangka garis panduan rasmi berkaitan penyediaan ayam mentah.
Peraturan tersebut dijangka merangkumi pengasingan ayam dimasak dan ayam dihidang mentah, kaedah pensterilan permukaan daging, serta tatacara penyimpanan yang selamat.
Selain itu, restoran yang masih menawarkan hidangan ayam mentah berkemungkinan diwajibkan memaklumkan pelanggan mengenai risiko kesihatan yang mungkin dihadapi.
Kerajaan berpandangan langkah itu penting kerana walaupun prosedur keselamatan dipatuhi, risiko jangkitan bakteria tidak dapat dihapuskan sepenuhnya.