Jumpa rambut masa buat 'review' nasi ayam viral, influencer tetap beri rating 4.5 bintang
HASRAT seorang pempengaruh untuk menikmati nasi ayam yang sedang tular di media sosial bertukar menjadi sesuatu tidak dijangka apabila dia mendakwa menemui rambut di dalam bekas yang baru dibuka.
Menerusi video dimuat naik di TikTok, dia membeli dua bungkus nasi ayam berharga RM26 sebekas untuk membuat ulasan dan satu lagi untuk ibunya.
Sebaik sahaja membuka bekas makanan tersebut, dia terkejut apabila mendakwa melihat sehelai rambut berada di bahagian sayur.
"Bungkusan dia (nasi ayam) pun besar, tapi alamak guys, saya bukan buat-buat atau reka cerita kerana saya pun baru buka.

"Ada rambutlah," katanya dalam video berdurasi enam minit 13 saat itu.
Dia mendakwa kejadian itu bukan satu gimik sambil mengaku dia hanya membuka bekas makanan berkenaan sebaik sahaja pesanan tiba di rumah.
"Saya beli dua sebab satu untuk mak saya cuba sekali. Makanan sampai dalam keadaan suam-suam dan saya percaya ini memang fresh made. Order, buat baru dihantar kepada pelanggan," ujarnya.
MENARIK DIBACA: Pakar tak galakkan basuh ayam mentah sebelum dimasak, ini sebabnya!
MENARIK DIBACA: 28 tahun minum susu lembu mentah, warga emas dijangkiti tibi
Walaupun terkejut dengan penemuan itu, dia tetap meneruskan sesi ulasan dan menunjukkan isi kandungan nasi ayam itu yang dianggap lengkap dengan ayam bersaiz besar, nasi basmati, salad, timun, tomato, kicap, sambal cili serta sup.
"Elok pula kena pada saya yang membeli, jadi saya bebas buat apa saja.
"Jadi beginilah rupa nasi ini. Ayamnya besar, nasi sedikit berwarna, lengkap dengan salad, timun, tomato, kicap dan cili serta sup," katanya.
Pempengaruh yang terkenal dengan kandungan berkaitan kecerdasan itu bagaimanapun menganggap insiden rambut dalam makanan bukan sesuatu luar biasa kerana pernah mengalaminya ketika membeli makanan lain di kedai malah ketika menikmati masakan sendiri.
"Terpulang pada penilaian anda berkenaan rambut, cuma saya bersumpah saya belum pernah buka lagi bekas nasi ayam ini dan rambut berkenaan memang ada di bahagian sayur," tegasnya.
Dalam pada itu, lelaki itu turut berkongsi bahawa penanda arasnya bagi menilai keenakan sajian nasi ayam adalah masakan ibu dan isterinya yang dianggap paling sedap.

"Sebelum makan, benchmark saya letak untuk nasi ayam ini adalah mak dan isteri saya kerana kedua-duanya paling sedap dalam dunia.
"Sup sedap (nasi ayam dibeli), cili pun pekat, nasi basmati, gabungan sedap. Kalau dibandingkan dengan nasi ayam mak dan isteri saya, sama sedap," katanya sambil membuat ulasan nasi ayam dibelinya itu.
Mengakhiri ulasan, lelaki itu menegaskan pandangannya adalah bersifat peribadi dan tidak mewakili mana-mana pihak.
Jelasnya, walaupun pengalaman menemui rambut itu sedikit mencacatkan selera, dia tetap berpendapat nasi ayam viral berkenaan berbaloi dicuba dengan memberikan penilaian 4.5 daripada lima bintang.