Pasar raya di Belanda buka kaunter khas untuk pelanggan sunyi, boleh bermesra dengan juruwang
DI kaunter pembayaran kebanyakan pelanggan akan memilih beratur di barisan paling pendek untuk menjimatkan masa.
Jika barisan terlalu panjang, pelanggan akan beralih ke kaunter layan diri kerana tidak mahu menunggu lama.
Bagi kebanyakan orang, lagi cepat urusan selesai adalah lagi baik.
Lain pula cerita di Belanda, di mana wujud sebuah pasar raya yang sengaja menyediakan kaunter dengan khidmat pembayaran paling perlahan untuk pelanggannya.
Bukan kerana kekurangan pekerja atau masalah sistem, sebaliknya mereka ada alasan tersendiri memperkenalkan inisiatif tersebut.
Bagi mereka, tidak semua pelanggan datang sekadar membeli barang keperluan.
Ada pelanggan yang sebenarnya berkunjung ke pasar raya hanya kerana perlukan seseorang untuk berborak atau bertanya khabar.

Justeru, rangkaian pasar raya Jumbo memperkenalkan Kletskassa, iaitu kaunter khas untuk pelanggan yang tidak tergesa-gesa dan ingin meluangkan sedikit masa berbual dengan juruwang.
Inisiatif unik itu diwujudkan selepas syarikat berkenaan melihat isu kesunyian semakin membelenggu masyarakat, khususnya golongan warga emas yang tinggal bersendirian.
Berbeza dengan kaunter biasa yang mementingkan kepantasan, juruwang di Kletskassa diberikan ruang untuk berbual, bertanya khabar dan mendengar cerita pelanggan ketika proses pembayaran dilakukan.
MENARIK DIBACA: Durian dibawa masuk stadium! Pakaian anak Malaysia tonton Piala Dunia 2026 jadi perhatian
MENARIK DIBACA: Semua sama 'fesyen'! Pelanggan naik muak, mula 'pangkah' restoran guna poster AI - "Tak selera nak masuk"
Malah, pelanggan lain yang memilih lorong tersebut juga sudah memahami bahawa urusan di situ mungkin mengambil masa lebih lama berbanding kaunter biasa.
Kaunter Kletskassa pertama dibuka pada musim panas 2019 di bandar Vlijmen, wilayah North Brabant.
Sambutan menggalakkan daripada pelanggan terutamanya warga emas, mendorong Jumbo memperluaskan konsep berkenaan ke lebih banyak cawangannya.
Pada September 2021, syarikat itu mengumumkan sasaran untuk membuka sekitar 200 Kletskassa di seluruh Belanda sebagai sebahagian usaha mengurangkan masalah kesunyian dalam komuniti.

Inisiatif itu turut disokong menerusi program Bersatu Menentang Kesunyian yang digerakkan oleh Kementerian Kesihatan, Kebajikan dan Sukan Belanda.
Menurut kerajaan Belanda, pasar raya merupakan antara lokasi yang paling kerap dikunjungi masyarakat setiap hari serta menjadikannya tempat sesuai untuk mewujudkan interaksi sosial yang ringkas tetapi bermakna.
Bagi sesetengah individu yang hidup sebatang kara, perbualan beberapa minit dengan juruwang mungkin menjadi satu-satunya komunikasi yang mereka lalui pada hari tersebut.
Konsep Kletskassa juga membuktikan bahawa kemajuan teknologi tidak semestinya perlu menghapuskan sentuhan kemanusiaan.
Walaupun dunia peruncitan kini semakin menumpukan kepada automasi dan kelajuan, Jumbo percaya pengalaman pelanggan tidak hanya diukur melalui tempoh menunggu yang singkat, sebaliknya turut melibatkan hubungan sesama manusia.
Kadangkala, sebuah senyuman, sapaan mesra atau perbualan ringkas mampu memberi impak yang jauh lebih besar daripada urusan pembayaran yang selesai dalam beberapa saat.