Tak mampu bayar sewa kedai, lelaki ini jual mi Aceh dari atas pokok
PELBAGAI cara unik dilakukan peniaga kecil untuk meneruskan kelangsungan hidup dan menarik perhatian pelanggan.
Seorang lelaki dari Aceh, Indonesia menarik perhatian ramai apabila memilih untuk menjual mi dari atas pokok.
Memetik laporan agensi berita Aceh_repost77, lelaki dikenali sebagai Bangbaneng itu tular di media sosial selepas video memaparkan dirinya memasak dan melayan pelanggan dari atas pokok mendapat perhatian ramai.
Apa yang lebih menarik, tindakan tersebut bukan sekadar untuk mencipta kelainan atau menarik pelanggan, sebaliknya tercetus gara-gara dia tidak mampu menyewa tapak perniagaan atau ruko (rumah toko).

Menurut ceritanya, idea berniaga di atas pokok itu tercetus secara tidak sengaja ketika dia sedang memanjat pokok untuk memetik buah manggis.
Ketika berada di atas pokok, lelaki itu tiba-tiba mendapat idea untuk memanfaatkan pokok tersebut sebagai lokasi berniaga, selepas dia berdepan kekangan kewangan bagi mendapatkan tapak perniagaan di atas tanah.
Tidak berfikir panjang, Bangbaneng kemudian nekad untuk membuka sebuah kedai kecil menjual mi Aceh dan melayan pelanggannya terus dari atas dahan pokok.
Walaupun idea ini agak pelik, namun siapa sangka usaha tersebut membuahkan hasil apabila ia menjadi tarikan dengan orang ramai mula datang untuk melihat sendiri cara dia berniaga di tempat yang tak disangka.
MENARIK DIBACA: Manis, lemak berkrim nikmat dimakan sejuk! Sukar nak tolak 'dessert' dadih sagu gula Melaka
MENARIK DIBACA: 'Sedap' lihat peserta peragakan kostum tema makanan, Miss Universe Thailand meriah!
Cara Bangbaneng berurusan dengan pelanggan juga mudah.
Pelanggan hanya perlu membuat pesanan dari bawah dan memasukkan duit ke dalam bakul yang diikat tali atau bayaran tanpa tunai (QRIS).
Selepas bayaran dibuat, pesanan mi Aceh yang dibungkus akan dibawa turun menggunakan bakul yang sama kepada pelanggan bersama wang baki jika ada.
Dalam perkongsian di media sosial, Bangbaneng turut berseloroh mengenai kelebihan berniaga dari atas pokok, termasuk tidak perlu memikirkan bayaran sewa tapak.
Bagaimanapun, Bangbaneng mengakui beriaga di atas pokok ada risikonya apabila pernah beberapa kali berdepan kemalangan ketika memasak.

Salah satu kejadian adalah kualinya tiba-tiba terbalik sewaktu sedang memasak mi Aceh sehingga membuatkan masakannya tumpah ke bawah.
Risiko lainya adalah berdepan dengan bahaya tergelincir, terutama sewaktu hari hujan.
Justeru, Bangnaneng tidak akan membuka kedainya ketika cuaca tidak mengizinkan bagi menghindari risiko keselamatan.
Gelagatnya yang bersahaja ketika mempromosikan perniagaan turut menghiburkan netizen sekali gus menjadi daya tarikan kepada orang ramai.
Situasi tersebut secara tidak langsung membantu memperkenalkan perniagaan Bangbaneng kepada lebih ramai pelanggan.

Selain bergantung kepada pelanggan yang datang secara fizikal, Bangbaneng turut memanfaatkan media sosial untuk mempromosikan jualannya.
Dia dilaporkan menggunakan siaran langsung (live) di platform seperti TikTok untuk berkongsi aktiviti perniagaannya dan menarik perhatian pelanggan, terutama mereka yang berada di luar Aceh.
Walaupun konsep tersebut kelihatan luar biasa, kreativiti Bangbaneng berjaya mencuri perhatian sehingga kisahnya tersebar luas di media sosial.