Makanan diet sinonim rasa hambar... Ini 10 sajian sihat sedap dimakan, tak jemu
RAMAI menganggap makanan sihat sinonim dengan rasa hambar, tawar, membosankan dan tidak membangkitkan selera
Hakikatnya, tanggapan sebegitu sebenarnya tidak tepat kerana banyak pilihan makanan berkhasiat yang bukan sahaja lazat, malah mampu membuatkan perut kenyang.
Berikut 10 contoh makanan sihat dan lazat yang membuktikan pemakanan seimbang tidak semestinya membosankan!

1. Oatmeal
Hidangan sarapan pagi oatmeal bukan sahaja mengenyangkan, malah kaya nutrien penting untuk tubuh.
Oat mengandungi serat yang membantu memberikan rasa kenyang lebih lama serta menyokong sistem pencernaan yang sihat.
Bagi menambah rasa dan khasiat, oat boleh dinikmati bersama buah beri, serbuk kayu manis, kekacang atau mentega kacang.
2. Greek yogurt
Greek yogurt merupakan antara pilihan snek sihat yang sesuai dinikmati ketika lapar.
Kandungan proteinnya yang tinggi membantu memberikan rasa kenyang dengan tekstur yang pekat dan berkrim seakan-akan aiskrim.
Hidangan ini boleh dinikmati begitu sahaja atau ditambah dengan buah-buahan segar serta sedikit madu untuk rasa yang lebih manis dan menyegarkan.

3. Keledek manis
Rasa semula jadi keledek yang sedikit manis menjadikannya sesuai digunakan dalam pelbagai hidangan.
Keledek membekalkan serat, vitamin A serta karbohidrat yang boleh membantu membekalkan tenaga untuk menjalani aktiviti harian.
Menariknya, kaedah memasak seperti membakar atau memanggang mampu menyerlahkan rasa manis semula jadinya tanpa perlu menambah mentega, gula atau minyak.
MENARIK DIBACA: Hanya tambah 2 bahan, asam jawa boleh jadi minuman menyegarkan!
MENARIK DIBACA: Tak payah ke Thailand, kerabu tembikai ‘homemade’ buat kecur air liur
4. Avokado
Avokado kaya dengan rasa serta khasiat. Buah ini enak dinikmati bersama roti bakar, salad, sandwic atau mangkuk bijirin.
Tambah istimewa, avokado juga mengandungi lemak sihat dan lemak tidak tepu yang membantu memberikan rasa kenyang lebih lama.
5. Blueberi
Manis secara semula jadi, mudah dimakan dan kaya dengan khasiat, tidak hairanlah blueberi sering dianggap sebagai antara makanan 'super' yang baik untuk kesihatan.
Buah ini kaya dengan serat, vitamin C serta antioksidan yang bermanfaat untuk tubuh.
Selain dinikmati begitu sahaja, blueberry juga boleh dicampurkan ke dalam yogurt untuk rasa lebih memuaskan.

6. Salmon
Salmon merupakan antara pilihan yang bukan sahaja enak, malah kaya dengan khasiat.
Teksturnya yang lembut apabila dimasak dengan sempurna serta rasanya yang tersendiri menjadikan salmon mampu membuatkan hidangan sihat terasa lebih istimewa.
Tidak hairanlah ikan yang kaya dengan kandungan asid Omega-3 ini sering menjadi pilihan bagi mereka yang ingin menikmati hidangan yang lazat sambil mengutamakan pemakanan sihat.
7. Beras perang
Berbanding nasi putih, anda boleh mempertimbangkan beras perang sebagai alternatif yang lebih sihat.
Beras perang mempunyai tekstur yang sedikit kenyal dan rasa yang lembut, menjadikannya sesuai dipadankan dengan pelbagai jenis protein serta sayur-sayuran.

8. Kacang kuda panggang
Jika anda gemar menikmati kerepek, kacang kuda panggang boleh dijadikan alternatif yang lebih sihat.
Kacang kuda mengandungi serat dan protein berasaskan tumbuhan yang boleh membantu memberikan rasa kenyang serta mengawal rasa lapar.
Untuk menjadikannya lebih menyelerakan, kacang kuda boleh diperisakan dengan jintan putih, serbuk cili atau bawang putih sebelum dipanggang.
9. Coklat gelap
Coklat gelap juga boleh menjadi sebahagian daripada diet yang sihat jika dinikmati dalam jumlah yang sederhana.
Jadi, tidak salah untuk memenuhi keinginan menikmati coklat sekali-sekala tanpa perlu berasa terlalu terkongkong.
Beberapa keping coklat gelap yang dinikmati bersama buah-buahan atau kekacang boleh dijadikan pencuci mulut ringkas dan lazat, selain membantu menjadikan pemakanan sihat terasa lebih menyeronokkan.

10. Pisang
Pisang sememangnya antara pilihan snek yang mudah dan praktikal.
Buah tropika ini mengandungi karbohidrat, kalium, vitamin B6 serta sejumlah serat yang baik untuk tubuh.
Pisang juga sesuai dinikmati untuk anda yang memerlukan tambahan tenaga.
Untuk kebaikan berganda, pisang juga boleh dimakan begitu sahaja atau digabungkan bersama yogurt, oatmeal mahupun mentega kacang.