Cuba pecah rekod dunia, Oriental Kopi sasar jual 10,000 nasi lemak dalam masa 8 jam
RAKYAT Malaysia pasti tidak akan menolak hidangan nasi lemak panas dengan sambal yang memikat selera.
Lebih-lebih lagi apabila sajian ikonik ini bakal mencipta sejarah tersendiri.
Sempena sambutan Hari Pekerja, Oriental Kopi bakal mencipta sejarah dengan cubaan memecahkan rekod dunia Guinness melalui sasaran jualan 10,000 nasi lemak dalam tempoh lapan jam.
Acara ini akan berlangsung di IOI City Mall, Putrajaya, pada 1 Mei, sekali gus menjadikan nasi lemak sebagai tumpuan utama dalam usaha memperkenalkan makanan tradisi Malaysia ke persada antarabangsa.
Menurut penganjur, inisiatif ini bukan sekadar mengejar rekod tetapi juga bertujuan mengangkat martabat nasi lemak ke peringkat global.
Sebagai tarikan, nasi lemak akan dijual pada harga promosi RM9.90 sepanjang tempoh acara berlangsung yang mana pelanggan bukan sahaja boleh menikmati hidangan ikonik itu, malah turut menjadi sebahagian daripada detik bersejarah.

Menambah kemeriahan, setiap pembelian akan menerima cenderamata edisi terhad 'gold coins', baucar Oriental Kopi bernilai RM2 serta hadiah istimewa bagi pembelian lima set dalam satu resit berupa gelas edisi khas.
Tidak cukup dengan itu, pengunjung juga berpeluang menyertai cabutan bertuah dengan pelbagai ganjaran menarik termasuk iPhone 17 Pro sebagai hadiah utama.
Untuk mencapai sasaran 10,000 hidangan dalam tempoh lapan jam, operasi perlu berjalan sangat pantas iaitu sekitar satu hidangan setiap dua saat.
Keseluruhan proses akan dipantau mengikut garis panduan ketat Guinness World Records bagi memastikan ketelusan dan pengesahan rasmi dibuat.
MENARIK DIBACA: Sambal belacan udang bakar, dijamin tak cukup sepinggan nasi
MENARIK DIBACA:Kecoh sebiji tomato RM20! Selepas dikecam pasar raya Kanada akui berlaku kesilapan
Pengasas Oriental Kopi, Datuk Calvin Chan berkata, usaha ini bukan sekadar pencapaian perniagaan tetapi juga simbol perpaduan melalui makanan yang dekat di hati semua rakyat Malaysia.
"Nasi lemak sebagai hidangan ikonik yang melambangkan ‘Rasa Malaysia’ berupaya menyatukan masyarakat merentasi budaya dan generasi.
"Rekod ini bukanlah hasil usaha individu, sebaliknya terhasil daripada sokongan dan penyertaan ramai. Ia merupakan detik yang memperlihatkan rakyat Malaysia bersatu dalam satu semangat.
"Kami berbesar hati dapat memainkan peranan dalam merealisasikan pengalaman nasional yang bermakna ini," katanya.
Bagi memeriahkan acara, orang ramai dijemput hadir dan menyaksikan sendiri usaha mencipta sejarah tersebut.