KUALI | Viral

Lelaki Jepun kongsi cara buat sashimi guna 'ikan-ikan Malaysia', puji hasilnya enak

Lead Image

SELAIN sushi, sashimi juga menjadi salah satu hidangan istimewa bagi masyarakat Jepun.

Sashimi merupakan hidangan makanan laut, kebiasaannya ikan yang dihiris nipis dan dimakan segar.

Lazimnya sashimi dihidangkan bersama kicap (shoyu), wasabi dan hirisan lobak putih yang dipanggil daikon.

Sashimi paling popular menggunakan isi ikan salmon atau sake kerana teksturnya yang lembut dengan rasa sedikit manis semula jadi.

Ikan tongkol merupakan salah satu ikan yang sedap dijadikan sashimi.

Selain salmon, terdapat beberapa jenis ikan lain seperti maguro (tuna), hirame (ikan sebelah), tai (ikan merah) dan hamachi (ikan ekor kuning) yang sering dijadikan hidangan sashimi.

Bagaimanapun, satu perkongsian oleh seorang lelaki warga Jepun yang tinggal di Malaysia meraih perhatian netizen apabila dia berkongsi hidangan sashimi menggunakan 'ikan Malaysia'.

Menerusi video yang dikongsikan dalam akaun TikTok miliknya, Keisuke@masakjepun, lelaki tersebut menunjukkan cara menyediakan sashimi menggunakan ikan tempatan seperti kembung, bawal putih dan serumbu.

MENARIK DIBACA: 5 cara rendahkan kandungan gula dalam nasi putih... Boleh makan tanpa risau

MENARIK DIBACA: Gulai ikan Kedah dipuji sedap, tak sama negeri lain... Orang utara dedah rempah rahsia, cara masak

Katanya, walaupun ikan-ikan yang digunakan agak asing pada tekak orang Jepun, namun rasanya tidak jauh beza dengan hidangan sashimi sebenar di sana.

"Saya guna ikan kembung dengan cara orang Jepun.

"Rasa ikan ini hampir sama dengan ikan saba di Jepun, jadi boleh guna teknik yang sama," katanya.

Dalam perkongsian berbeza, lelaki Jepun dipercayai seorang tukang masak itu turut menyediakan sashimi menggunakan bawal putih yang dianggap cukup istimewa.

Sashimi yang dibakar sedikit akan mengeluarkan aroma dan rasa yang lebih enak.

Katanya jika di Jepun, bawal putih dianggap sebagai ikan mahal, namun berbeza di Malaysia yang dikatakan harganya jauh lebih murah.

"Di Jepun, bawal putih ini sangat mahal iaitu sekitar RM200/kg, tapi di Malaysia cuma RM85/kg.

"Anda boleh dapat ikan yang segar dan sedap dengan harga yang cukup berpatutan," ujarnya.

Ikan bawal putih dianggap ikan premium di Jepun kerana harganya yang mahal.

Berdasarkan video yang dikongsikan, lelaki tersebut turut menunjukkan cara membuat sashimi dengan teknik yang cukup mudah, dan paling penting ia halal untuk dimakan.

"Di sini, saya berkongsi masakan Jepun tanpa alkohol, tanpa mirin dan tanpa daging babi.

"Jadi ia halal untuk dimakan," kongsinya.

Berikut merupakan cara membuat sashimi menggunakan ikan tempatan:

  1. Hiris nipis isi ikan dan buang tulang.
  2. Kemudian masukkan ke dalam peti sejuk sehingga beku semalaman.
  3. Cairkan isi ikan lalu taburkan dengan garam dan biarkan selama 15 minit.
  4. Rendam dengan cuka dan gula selama 30 minit.
  5. Bakar sedikit isi ikan untuk rasa yang lebih sedap.
  6. Sedia untuk dihidangkan bersama wasabi atau kicap masin.

 

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Dunia

100 cef pecahkan rekod hasilkan tiramisu terpanjang di dunia! Guna lebih 100,000 biskut, 3,000 biji telur

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Momen

Cuba pecah rekod dunia, Oriental Kopi sasar jual 10,000 nasi lemak dalam masa 8 jam

Terhangat