Cef Zaini terbang ke Itali sertai pertandingan piza dunia, Malaysia berbangga!
NAMA Cef Zaini Ahmad menjadi bualan di media sosial apabila dia memaklumkan bakal beraksi di pentas antarabangsa dalam Pizza World Championship di Parma, Itali pada 14 hingga 16 April 2026.
Penyertaan cef piza berbakat dari Malaysia ini bukan sahaja membanggakan, tetapi membuka mata masyarakat bahawa anak tempatan juga mampu bersaing dalam industri piza global.
Dalam kejohanan berprestij itu, Cef Zaini akan mencabar dirinya dalam dua kategori, Neapolitan STG Pizza dan Fastest (kepantasan membuka doh piza).
Walaupun ini adalah penyertaan pertamanya, beliau tetap optimis dan bersedia memberikan persembahan terbaik.

"Ini adalah penyertaan pertama saya, satu langkah besar untuk menguji kemampuan diri dan melihat sejauh mana saya mampu pergi dalam dunia piza.
"Saya tidak menjanjikan kemenangan tetapi saya berjanji akan memberikan yang terbaik dan membawa pulang pengalaman yang sangat berharga," tulisnya di Threads.
Bagi Cef Zaini, peluang itu adalah medan untuk menguji kemahiran serta mengutip pengalaman berharga di peringkat dunia.
MENARIK DIBACA: Tak sangka santan boleh jadi syampu... Bantu lebatkan rambut, atasi masalah gugur
MENARIK DIBACA: Kesilapan biasa simpan santan kotak selepas dibuka, ada cara elak ia cepat masam
Setiap tahun, lebih 700 cef profesional dari seluruh dunia berkumpul untuk bersaing dalam pelbagai kategori seperti Pizza Klasik, Pizza Gluten-free, Freestyle, Pizza Pan, Pizza Terbesar, World Pizza Team.
Pizza World Championship atau Campionato Mondiale della Pizza merupakan antara pertandingan melibatkan piza paling besar peringkat global.

Peserta akan dinilai berdasarkan aspek penting seperti rasa, teknik penyediaan, cara pembakaran dan juga persembahan piza.
Berikut empat fakta menarik mengenai Cef Zaini Ahmad:

1.Mempunyai pengalaman lebih tujuh tahun sebagai cef piza, termasuk bekerja di Glasgow, Scotland sebelum ini.
2.Aktif menimba ilmu di luar negara. Antara pengalaman menarik, berkolaborasi dengan cef tempatan di Magribi dalam aksi 'pizza acrobatics' mempamerkan kemahiran melambung doh piza.
3.Langkah berani Cef Zaini Ahmad dilihat sebagai inspirasi besar kepada penggiat industri makanan di Malaysia, khususnya dalam bidang piza.
4.Cef itu turut menyatakan hasrat untuk kembali ke tanah air dengan membawa ilmu dan pengalaman baharu bagi memajukan lagi industri piza tempatan.
Untuk rekod, pada 2024 pempengaruh dan usahawan piza Malaysia, Jofliam mencapai kejayaan antarabangsa dengan menduduki tangga ke-99 dalam pertandingan The Best Pizza In The World 2024 di Milan, Itali.
Kejayaan ini menyaksikan Jofliam diiktiraf sebagai salah seorang daripada 100 pembuat piza terbaik dunia selepas bersaing dengan ribuan peserta.
Pada 2023, beliau meraih tempat ke-4 daripada 50 peserta antarabangsa dalam pertandingan di Tutto Pizza Expo, juga diadakan di Itali.