Suami masak makaroni goreng 'crispy' untuk anak, isteri tengok terus sakit kepala
PERKONGSIAN seorang wanita tentang air tangan 'istimewa' suaminya membuatkan warganet terhibur.
Bagaimanapun bagi dirinya yang bergelar isteri, perasaannya bercampur baur apabila mengetahui tentang sajian yang disediakan suami untuk anak mereka.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Threads, wanita tersebut berkongsi foto makaroni goreng yang dimasak pasangannya di rumah dan dia ketika itu masih berada di pejabat.

"Korang, aku suruh suami aku buat makaroni goreng untuk anak aku makan.
"Lepas tu dia hantar gambar macam ni. Aku dekat office tak tahan nak gelak sampai tergolek.
"Aku harap anak aku dapat bertahan sampai pukul 7 malam nanti. Aduh! sakit kepala macam ni!" kongsinya di laman sosial.
MENARIK DIBACA: Puas cari rahsia, rupanya ayam masak merah majlis kenduri sedap letak oren Sunquick
MENARIK DIBACA: Teknik ‘no oil no butter’ jadi trend, makanan sihat dimasak influencer buat ramai terliur
Berdasarkan gambar yang dikongsi, kelihatan makaroni digoreng terus di dalam kuali berisi minyak tanpa direbus terlebih dahulu untuk melembutkannya.
Selain itu, kelihatan juga bawang dihiris kasar dan ditumis di dalam kuali tersebut.
Perkongsian gambar tangkap layar perbualan pasangan suami isteri itu menunjukkan bahawa si isteri ada memberitahu makaroni tersebut perlu direndam sehinga kembang.
Malangnya si suami bertindak lebih pantas apabila terus menggorengnya di dalam minyak panas.
Apabila isteri memberitahu bahawa teknik memasak makaroni sama seperti spageti, lelaki itu memberikan alasan dia cuma tahu menggoreng mi dan tidak pernah memasak makaroni atau pasta lain sebelum ini.

"Tak pernah. Mi goreng je pernah," katanya dalam perbualan WhatsApp dengan isteri.
Gara-gara gagal menyediakan hidangan makaroni goreng untuk anaknya, lelaki itu akhirnya memutuskan untuk membeli sahaja makanan sebagai langkah terbaik.
"Tak yakinlah sayang. Aku beli je lah," katanya.
Perkongsian kisah itu mendapat perhatian ramai pengguna media sosial yang turut terhibur dengan gelagat lelaki berkenaan.

Malah ada yang memuji tahap keyakinan dan keberaniannya untuk cuba memasak walaupun tidak mahir.
"Kira lakimu berani la juga siap menumis. Lakiku dengar idea suruh dia masak terus serah diri.
"Nasib baik dia bagi gambar. Kalau tidak rangup makaroni anak awak.
"Tak apa sis asalkan dia mencuba untuk kenyangkan perut anak walaupun salah langkah," antara komen netizen.