Kedai abang-abang sado jadi perhatian, jual durian berkualiti pada harga mampu milik
SETIAP jenama perniagaan mempunyai identiti dan pendekatan pemasaran tersendiri bagi menarik perhatian pelanggan dalam pasaran semakin kompetitif.
Ada yang memilih menonjolkan produk melalui promosi kreatif, tak kurang turut menggunakan kandungan media sosial memaparkan suasana sebenar operasi harian perniagaan.
Durian Papa Muda kembali menjadi bualan selepas video memaparkan beberapa pekerja lelaki berbadan sasa dan tak berbaju ketika mengendalikan jualan tular di media sosial.
Jenama perniagaan durian itu menerima pelbagai reaksi termasuk kecaman netizen, namun terus mendapat sambutan hangat sehingga mampu menjana pendapatan sekitar RM10,000 sehari.

Pemiliknya, Muhamad Hairul Hafiz, 29, berkata dia tak pernah menjadikan kritikan sebagai alasan berhenti mempromosikan perniagaan dengan cara tersendiri, sebaliknya pendekatan sama terus digunakan.
Menurut Hairul, kandungan dimuat naik di media sosial hanya bertujuan memaparkan rutin harian dan suasana sebenar ketika mengendalikan operasi jualan durian, bukannya untuk menampilkan unsur tidak senonoh.
"Bagi kami, perkara itu biasa sahaja sebab lelaki bekerja bawah cuaca panas memang kadang-kadang buka baju ketika memunggah durian daripada lori.
MENARIK DIBACA: Ramai kagum lihat kegigihan 'content creator' India masak nasi lemak - "Terbaik aku pernah tengok"
MENARIK DIBACA: Influencer kongsi resipi pelik warisan keluarga! Masak ayam dalam Coke, hasilnya enak
"Kami bukan sengaja mahu tayang badan atau buat kandungan bukan-bukan.
"Semasa berniaga, kami tetap berpakaian seperti biasa. Cuma kandungan dipaparkan di media sosial mungkin disalah tafsir sesetengah orang," kongsinya.
Hairul memberitahu, dia dan pasukannya lebih selesa fokus kepada perniagaan serta memastikan kualiti buah dijual sentiasa berada pada tahap terbaik berbanding melayan kritikan netizen.
"Kami tak ambil hati sangat kalau ada mengecam. Paling penting pelanggan puas hati dan buah dijual berkualiti," jelasnya lanjut.

Gerai Durian Papa Muda terletak di Laman Duta, Presint 15, Putrajaya bagi menampung permintaan pelanggan semakin meningkat.
Bagi memeriahkan lagi musim durian kali ini, Hairul turut menawarkan promosi istimewa buat penggemar raja buah dengan menjual durian Musang King pada harga serendah RM15 sekilogram.
Kongsinya, dia mahu lebih ramai pelanggan dapat menikmati durian premium tanpa perlu terlalu risau mengenai harga yang sering dianggap mahal.
Selain menguruskan gerai jualan, Hairul turut membuka peluang kepada pemborong dari seluruh negara untuk mendapatkan bekalan durian dari kebun miliknya yang terletak di Pagoh, Johor.