Pemuda jual piza dari balkoni! Pelanggan jerit buat pesanan, sanggup beratur berjam-jam
BERMULA dengan perniagaan secara suka-suka untuk projek 'DIY Balcony' pada Ogos 2024, seorang lelaki akhirnya mencetuskan fenomena apabila bisnes uniknya tular di media sosial.
Petter Gran tidak menyangka jualan dari balkoni apartment rumahnya menarik perhatian orang ramai yang sanggup beratur panjang untuk membeli piza air tangannya.
Memetik laporan CCN Travel, selain piza yang diakui enak, cara dia berurusan dengan pembeli juga sangat unik apabila urusan pesanan dan penghantaran hanya dibuat melalui balkoni.

Menamakan perniagaannya sebagai Pizza from a Balcony, lelaki yang menetap di Oslo, Norway itu berjaya menarik perhatian masyarakat apabila ramai sanggup beratur panjang untuk memesan piza dari tingkat tiga.
Bahagian balkoni apartment tersebut telah diubah suai menjadi kaunter kecil untuk menghantar tempahan piza yang dipesan menggunakan sistem takal.
Cara pelanggan memesan piza juga unik apabila mereka cuma perlu melaungkan jenis piza yang dimahukan.
Piza segar yang masih panas selepas dibakar kemudiannya akan dihantar kepada pelanggan menggunakan bakul anyaman dan tali.
MENARIK DIBACA: Jangan dibuang! Serat putih pada buah oren banyak khasiat, boleh bantu kawal selera makan
MENARIK DIBACA: Hampas kelapa paling berkesan tajamkan mata pisau blender, siap boleh hilangkan bau dan sisa minyak
Melihat pelanggan yang ramai dan sanggup beratur panjang, Gran menyediakan hiburan ringan dengan menjemput pemuzik jazz untuk menghiburkan mereka.
Bagi sistem pembayaran pula, Pizza from a Balcony hanya menerima bayaran secara digital menggunakan kod QR.
Disebabkan Gran dan pasukannya terlalu sibuk menyiapkan piza sehingga tidak sempat memeriksa resit pembayaran, mereka meletakkan kepercayaan penuh kepada pelanggan membuat bayaran secara jujur.

Operasi Pizza from a Balcony juga tidak dibuka setiap hari.
Gran hanya membuka bisnes kecilnya cuma beberapa kali seminggu dan hebahan akan dibuat melalui media sosial.
Piza yang dihasilkan juga sangat terhad iaitu antara 70 hingga 100 keping sahaja.
Antara piza yang disediakan adalah piza Margherita yang dijual pada harga NOK180 (RM76), piza Norwegian Peperoni berharga NOK200 (RM85) dan piza Smoked Pancetta & Pickled Pineapple yang berharga NOK200 (RM85).