Pelanggan tak puas hati harga sajian ikan patin kukus lebih RM900, ini fakta anda perlu tahu
RESTORAN di Genting Highlands yang mengenakan bayaran melebihi RM900 untuk hidangan ikan patin kukus kepada pelanggan dari negara jiran pada Mac lalu, didapati tidak melakukan sebarang kesalahan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang, berkata hasil siasatan dan analisa yang dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri ke atas semua dokumen yang dikemukakan mendapati tiada unsur pencatutan ke atas harga hidangan ikan patin yang dijual mengikut kesalahan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
Jelasnya, harga RM338 untuk sekilogram (kg) yang dikenakan bagi ikan patin seberat 2.7kg itu masih di bawah peratus keuntungan yang dibenarkan.

Malah pemilik restoran sudah menyatakan dengan jelas bahawa ikan patin itu dijual pada harga RM33.80 bagi setiap 100 gram berdasarkan harga yang tercatat dalam menu.
Sebelum itu, bertindak atas aduan, KPDN Pahang menyerahkan Notis Bertulis (NB) kepada restoran terbabit pada 4 April lalu membabitkan 13 pelancong yang tidak berpuas hati dan mendakwa mereka dikenakan bayaran tidak masuk akal bagi hidangan tersebut.
Kenali ikan patin tempatan
Ikan patin menjadi antara spesies ikan popular di Malaysia terutama dalam masakan seperti gulai patin tempoyak.
Di Malaysia, ikan dari keluarga Pangasius ini mudah ditemui di perairan seperti Sungai Pahang terutama di bahagian Temerloh, Sungai Perak dan beberapa lembah sungai lain.
Ikan patin tidak sukar dikenali kerana memiliki fizikal yang berbeza dengan spesis ikan yang lain.
Perbezaan utama ikan patin adalah:
- Memiliki badan yang licin dan tidak bersisik.
- Badannya berwarna putih perak manakala bahagian atasnya berwarna hitam kebiruan.
- Mempunyai satu atau dua pasang sesungut (misai) pendek di bahagian rahang.
- Memiliki bentuk badan yang panjang danagak leper dengan sirip kecil.
- Mulutnya boleh dibuka luas dengan padanan gigi tajam yang halus pada rahangnya.

Terdapat lebih kurang 14 spesies ikan patin yag direkodkan secara keseluruhan dan empat daripadanya berada di perairan Semenanjung Malaysia.
Antara spesies ikan patin paling popular dan utama di Malaysia seperti:-
1. Patin Buah/Sungai
- Merupakan spesies natif yang memiliki nilai yang cukup tinggi. Spesies ini boleh ditemui di Sungai Pahang dan Sungai Rajang di Sarawak.
2. Patin Juara
- Spesies sungai yang bersaiz lebih kecil tetapi menjadi buruan pemancing sukan air tawar.
3. Patin Muncung
- Spesies paling sukar ditemui dan antara yang termahal di pasaran.
MENARIK DIBACA: Goreng sekali kulit, ada bawang dan rempah... Cekodok pisang versi India tular!
MENARIK DIBACA: Suami masak makaroni goreng 'crispy' untuk anak, isteri tengok terus sakit kepala
4. Patin Siam / Patin Kolam
- Spesies yang diimport dari Thailand untuk akuakultur. Merupakan patin hitam yang paling biasa dijual di pasaraya atau dihidangkan di restoran.
5. Patin Lawang
- Spesies sungai yang turut dikenali dengan pelbagai nama tempatan.
6. Patin Sangkar
- Merujuk kepada patin yang diternak di dalam sangkar (biasanya spesis kacukan atau patin siam).
Untuk industri patin di Malaysia, biasanya ikan dari jenis Buah (sungai) atau patin sangkar sering menjadi pilihan kerana mudah diperolehi, selain turut dipengaruhi oleh faktor harga.
Namun, terdapat perbezaan antara patin sungai dan patin sangkar bukan sahaja dari segi rasa, tetapi juga tesktur isinya.

Ikan Patin Sungai
- Air dalam sangkar sentiasa mengalir secara semula jadi
- Lebih berkualiti berbanding patin kolam
- Isi lebih tebal dan warna nampak lebih segar
- Kurang lemak dan lebih banyak isi
- Dijual dengan harga lebih mahal kerana penjagaan rapi
- Lemak tidak bercantum dengan isi
- Tekstur isi kurang melekit dan tidak berminyak
- Secara keseluruhan, ikan patin sungai sering menjadi pilihan mereka yang mahukan rasa lebih 'ringan' dan tidak terlalu hanyir.

Ikan Patin Kolam
- Air kolam tidak mengalir semula jadi, biasanya guna pam untuk pertukaran air
- Isi boleh mempunyai bau hanyir jika tidak dijaga dengan baik
- Saiz biasanya lebih kecil
- Warna isi berbeza berbanding patin sungai
- Lebih banyak lemak
- Dijual pada harga lebih murah
- Lemak bercantum dengan isi
- Tekstur lebih berminyak dan agak melekit
- Disebabkan faktor ini, ada sesetengah orang kurang gemar ikan patin kolam kerana bau dan teksturnya yang berbeza.

Ikan patin juga tidak kalah hebat dari segi khasiat untuk kesihatan tubuh manusia. Antara kelebihan nutrisi yang ada pada ikan patin adalah seperti:-
- Kaya dengan protein, Omega-3 dan vitamin D untuk membina otot, mengawal tekanan darah dan menjaga kesihatan jantung.
- Mengandungi lemak sihat yang selamat untuk kolesterol.
- Memilikisumber kaliu untuk membantu mengekalkan keanjalan salur darah serta mengawal tekanan darah.
- Membantu penyerapan kalsium serta mengelak risiko osteoporosis.
- Rendah kalori jika dimasak dengan cara sihat untuk membantu menurunkan berat badan.
- Membantu memulihara fungsi otak dan mengekalkan kecerdasan minda.

Harga
Harga pasaran bagi ikan patin mentah di Malaysia adalah sekitar RM7 hingga RM40 sekilogram bagi jenis biasa dan ternakan sangkar.
Bagaimanapun, harganya boleh melonjak sehingga RM120 hingga melebihi RM300 sekilogram untuk ikan patin liar gred premium atau ikan patin 'kayangan' yang ditangkap terus dari sungai.