Keliru lalang dan daun pandan... Doktor hasilkan seri muka perasa rumput sempena hari jadi ibu
DISANGKA daun pandan, rupa-rupanya lalang!
Itulah pengalaman lucu dikongsikan seorang doktor perubatan apabila cubaan pertamanya menghasilkan kuih seri muka sempena ulang tahun kelahiran ibunya.
Seperti yang kita tahu, kebanyakan kuih tradisional Melayu menggunakan daun pandan bagi menghasilkan warna hijau semula jadi selain memberikan aroma harum dan rasa lebih enak.
Bagaimanapun bagi Dr Priya, seri muka yang dibuatnya tidak menjadi seperti diharapkan apabila kuih tersebut lebih rasa rumput berbanding pandan.

"Hari jadi ibu saya hari ini, saya putuskan untuk buat seri muka (pertama kali) untuk ganti kek.
"Saya ikut resipi betul-betul, tetapi selepas satu suapan, ibu terus bertanya, kenapa rasanya macam rumput?" katanya menerusi perkongsian di laman Threads.
Menerusi hantaran tersebut, Dr Priya turut berkongsi gambar kuih seri muka yang dihasilkannya dengan warna hijau pucat.
Katanya, ketika itulah dia mula menyedari kemungkinan daun yang dipetik sebenarnya bukanlah daun pandan, sebaliknya lalang.
MENARIK DIBACA: Sedap betul bingka pandan, cara membuatnya pun senang
MENARIK DIBACA: Pertama kali buat agar-agar pandan 'confirm' menjadi, letak dalam peti ais baru sedap makan
Bercerita lanjut, katanya, dia keliru kerana kedua-dua tumbuhan tersebut tumbuh subur di ruang sama dan kelihatan hampir sama.
"Ya Tuhan, saya rasa saya dah ambil lalang dan bukannya daun pandan. Sesiapa pun tak cakap dengan saya hari ini.
"Agaknya yang tinggal sekarang memang daun pandan sebab saya dah habiskan semua 'rumput' itu," katanya sambil menunjukkan gambar lokasi dia mengambil tanaman itu.
Doktor itu turut memuat naik foto tumbuhan yang dipetik, sekali gus menyebabkan ramai geli hati melihatnya.

Di ruangan komen, ada juga yang mengakui mereka juga keliru kerana bentuk daun lalang tersebut memang seakan-akan daun pandan, cuma warnanya sedikit cerah.
"Tak pernah jumpa lagi seri muka perisa lalang.
"Awak petik daun yang ini kan? You are not alone sis. Saya pun pernah nyaris nak guna daun ni. Memang nampak sama sangat.
"Masa you cabut, bau pandan ke bau rumput? Both scents are unmistakeable," antara komen netizen.