Individu dikecam dengki warga asing isi 2 botol air wakaf masjid - "Warganegara minum segelas dua je"
NIAT mewakafkan sesuatu biasanya dilakukan dengan harapan ia dapat dimanfaatkan oleh seramai mungkin individu tanpa mengira latar belakang.
Pendek kata, kemudahan yang disediakan hasil sumbangan orang ramai seharusnya dimanfaatkan mengikut keperluan tanpa perlu dipersoalkan, selagi tidak disalahguna.
Bagaimanapun, tindakan seorang individu dipercayai pengawal keselamatan warga asing mengisi air wakaf di sebuah masjid mengundang rasa kurang senang segelintir pihak.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Facebook, individu berkenaan dilihat sedang mengisi air dalam dua botol bersaiz besar dari penapis air yang disediakan di Masjid Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.
Perkongsian itu menunjukkan individu itu berasa kurang senang individu tersebut apabila dia mempersoalkan tindakan warga asing berkenaan mengambil air dalam kuantiti banyak.

"Warga asing sampai dua botol air masjid Seksyen 7, Shah Alam. Warganegara minum segelas dua je," tulisnya.
Di ruangan komen, perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, malah ramai yang mengecam pemilik hantaran kerana dianggap terlalu berkira terhadap penggunaan air wakaf.
MENARIK DIBACA: Durian dibawa masuk stadium! Pakaian anak Malaysia tonton Piala Dunia 2026 jadi perhatian
MENARIK DIBACA: Semua sama 'fesyen'! Pelanggan naik muak, mula 'pangkah' restoran guna poster AI - "Tak selera nak masuk"
"Dengan air pun berkira. Kenapalah kedekut sangat kau ini. Kalau dah jenis berkira ambil setitis pun tetap akan jadi isu.
"Kalau dia bawa balik mesin itu lainlah atau ada notis tak boleh lebih daripada satu cawan. Wakaf pun untuk minum bukan buat mandi.
"Hitam sangat hati itu. Benda macam itu pun nak berkira. Nauzubillahiminzalik," antara komen netizen.

Terdapat sebahagian warganet yang berpendapat tiada masalah sekiranya air wakaf itu digunakan untuk tujuan minuman kerana ia sememangnya disediakan untuk kegunaan orang ramai.
"Itu kan masjid, bukannya rumah persendirian atau pejabat yang dimiliki oleh orang tertentu. Kita berkongsi rezeki yang Allah beri.
"Tak salah rasanya kita kongsi juga kemudahan minuman itu, hatta dia warga asing sekali pun. Tunjukkan Islam itu indah, mudah berkongsi rezeki dan mesra dengan semua orang terutamanya dalam kawasan masjid," luah salah seorang warganet.
Malah, ada juga berpandangan lebih ramai yang memanfaatkan air wakaf tersebut, lebih besar ganjaran pahala yang diterima oleh individu yang mewakafkannya.
"Dia ambil air untuk minum. Pahala untuk orang yang wakaf. Hang nak, hang pergi ambi tiga botol bagi lebih daripada dia.
"Aku pun menyampah dengan warga asing tapi bab air ini biarlah. Lagi banyak dia minum, lagi banyak orang yang wakaf dapat pahala. Lainlah kalau kau nampak dia pergi beniaga air itu," komen netizen lagi.