Ikan keli melengkung ketika digoreng petunjuk makan najis? Pakar beri penjelasan
PERNAH tak anda dengar dakwaan badan ikan keli akan melengkung ketika digoreng kerana diberi makan najis manusia?
Mitos ini sudah lama berlegar dalam masyarakat sehingga membuatkan ramai berasa was-was untuk menikmati ikan tawar tersebut.
Tetapi betulkah bentuk ikan keli selepas digoreng boleh dijadikan petunjuk kepada jenis makanan yang dimakannya?
Memetik laporan CCN Indonesia, dakwaan itu sebenarnya hanyalah mitos kerana sehingga kini tiada bukti saintifik yang menyokongnya.

Pakar dari Institut Pertanian Universiti Bogor (IPB) menjelaskan bahawa bentuk ikan keli selepas digoreng tidak boleh dijadikan penanda aras kepada kualiti ikan atau jenis makanan yang diberikan.
Sebaliknya, kualiti ikan lebih tepat dinilai ketika ia masih segar.
Ikan keli yang berkualiti lazimnya mempunyai badan yang seimbang, isi yang tebal, tekstur yang kenyal serta tidak mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan.
Malah, sistem pencernaan ikan akan memproses makanan menjadi nutrien untuk pertumbuhan, menyebabkan bentuk badannya tidak mencerminkan apa yang dimakan.
MENARIK DIBACA: Pempengaruh kongsi cara goreng haruan berempah... Langsung tak hanyir, rasa macam ikan laut
MENARIK DIBACA: Tip mudah ini selesaikan masalah ikan hancur ketika digoreng... Isi dan kulit kekal sempurna
Najis bukan makanan sesuai untuk ikan keli
Najis manusia bukanlah sumber makanan yang ideal untuk ikan keli kerana sebahagian besarnya terdiri daripada air dan mempunyai kandungan nutrien yang sangat rendah.
Untuk membesar dengan sihat, ikan keli memerlukan makanan yang kaya dengan protein supaya pertumbuhannya optimum dan menghasilkan isi yang tebal.

Jadi kenapa badan ikan keli melengkung apabila digoreng?
Sebenarnya terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan ia berlaku termasuk lemak dan tisu ikan akan mengecut apabila terkena suhu minyak yang tinggi.
Selain itu, penggunaan kuali yang terlalu kecil juga boleh menyebabkan badan ikan terpaksa dilengkungkan ketika proses menggoreng.
Malah, suhu minyak yang terlalu panas turut mempercepatkan pengecutan otot dan tisu, sekali gus menyebabkan bentuk ikan berubah.