Berlengah jumpa doktor lepas tercekik tulang, pesakit rebah dan akhirnya maut
KEJADIAN tulang ikan tersekat di tekak sebenarnya boleh mengundang komplikasi serius jika magsa tidak mendapatkan rawatan dengan segera.
Ramai tidak sedar kejadian ini yang pada awalnya hanya menyebabkan rasa tidak selesa boleh bertukar menjadi jangkitan teruk sehingga mengancam nyawa.
Seorang lelaki di Threads dipercayai merupakan petugas kesihatan menceritakan pengalaman mengendalikan kes pesakit yang lewat mendapatkan rawatan sehingga berakhir dengan kematian.
"Bulan lepas ada kes tulang ikan tersekat, pesakit datang lambat sampai jadi nanah (retropharyngeal abscess).
"Datang hospital di bawah rawatan RA (rheumatoid arthritis) dan dalam perjalanan nak pergi klinik bahagian telinga, hidung dan tekak (ENT), pesakit rebah sebab saluran pernafasan terjejas apabila abses (nanah) menekan saluran pernafasan.
"Pesakit mengalami cardiac arrest, menjalani resusitasi kardiopulmonari (CPR) berpanjangan dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) tapi mengalami ensefalopati hipoksik-iskemik (HIE) last-last meninggal," tulisnya.
Di ruangan komen, perkongsian itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan netizen.

Malah, ramai berkongsi pengalaman berdepan situasi hampir sama sehingga ada yang terpaksa menjalani pembedahan bagi mengeluarkan tulang ikan tersekat.
"Arwah mak saya pernah kena tulang ikan tersekat dalam tekak. Hari kedua baru pergi hospital sebab dah sakit sangat. Doktor kata tekak mak dah merah teruk dan terpaksa buat pembedahan untuk keluarkan tulang. Cepatlah pergi hospital, takut berlaku jangkitan.
"Saya dah dua kali pergi ENT sebab tulang ikan tersekat. Kalau lepas 24 jam dah cuba macam-macam tapi masih tak hilang, teruslah ke hospital. Saya dulu tunggu dua hari sebab hujung minggu, sampai tak boleh tidur sebab tekak dah bengkak.
MENARIK DIBACA: Jual aiskrim 'topping' semut, pemilik restoran Michelin berdepan hukuman penjara
MENARIK DIBACA: Pekat, rasa 'terangkat'! Ini jenis ikan paling sedap dibuat kuah laksa, kembung paling popular
"Tulang ikan tertusuk pada tonsil sampai bengkak teruk. Saya terpaksa menjalani pembedahan kecemasan untuk membuang kedua-dua tonsil. Esoknya pula kena demam panas dan pneumonia. Hampir beberapa minggu dirawat di wad. Semua berpunca daripada tulang ikan yang tersekat," atara perkongsian pengalaman netizen.
Seorang lagi warganet turut berkongsi pengalaman menjalani pembedahan bagi mengeluarkan tulang ikan keli yang tersangkut berhampiran peti suara.

"Saya pernah dibedah untuk buang tulang ikan keli. Doktor cakap tulang itu dah dekat dengan peti suara. Panjangnya kira-kira tiga sentimeter dan tercucuk sedalam satu sentimeter. Sakit dia rasa macam nak tampar semua orang, seksa sangat. Sampai sekarang trauma nak makan ikan keli," katanya.
Selain komplikasi yang memerlukan pembedahan, ada juga yang berkongsi pengalaman berdepan kesan jangka panjang akibat tulang ikan yang tersekat.
"Makcik saya sampai ditidurkan sebab tulang ikan. Ambil masa hampir setahun untuk pulih sepenuhnya. Sempat juga pakai stoma dan menerima makanan melalui tiub selama beberapa bulan. Dari satu hospital ke satu hospital. Memang nampak macam tak logik hanya sebab tulang ikan, tapi itulah yang makcik saya lalui.
"Saya kenal dua orang dalam komuniti saya meninggal dunia sebab tersedak, seorang akibat tulang ikan dan seorang lagi kerana jarum. Jangan ambil mudah perkara macam ni. Nampak remeh tapi boleh membawa maut kalau tidak dirawat.
"Pernah kena sampai demam. Masa pergi klinik, tulang dah keluar sendiri. Doktor kata kalau dah demam begini maknanya jangkitan kuman dah berlaku. Tapi saya masih tak serik makan ikan," kongsi netizen lagi.