Biskut coklat popular dipercayai tak halal, pewarna berasal dari kumbang cochineal
ISU berkaitan status halal sesuatu produk sering menjadi perhatian pengguna beragama Islam, lebih-lebih lagi apabila membabitkan jenama makanan popular atau sudah lama berada di pasaran.
Menurut perkongsian wanita di Threads, seorang wanita mendakwa satu jenama biskut coklat popular dari luar negara mengandungi sejenis pewarna dikenali 'carmine' yang dipercayai tidak halal.
"Kenapa jenama berkenaan dah tak halal. Certain store dah tampal jenama ni may contain non halal ingredients," luahnya.
Hantaran tersebut kemudian menerima pelbagai reaksi sebelum seorang netizen tampil memberikan penjelasan mengenai bahan pewarna yang digunakan dalam produk berkenaan.
Menurutnya, dia baru mengetahui bahawa biskut jenama tersebut mengandungi pewarna 'carmine' yang diperoleh daripada kumbang 'cochineal', iaitu sejenis serangga yang hidup pada pokok kaktus.
"Saya baru tahu biskut jenama ni ada pewarna 'carmine'. 'Carmine' ni dapat dari kumbang 'cochineal', sejenis kumbang yang makan kaktus.
"Ikut mazhab Syafie tak halal. Ada mazhab yang tak haram tapi saya tak ingat mazhab apa.
"Dulu masa intern penat nak explain dekat bos yang bukan Islam sebab dia cakap dekat Arab sana orang Islam boleh makan, kenapa dekat sini tak boleh pula?

"Kepada yang cakap halal tu, ni la kumbang 'cochineal' (gambar). Kalau dah hancurkan jadi serbuk atau 'liquid' tak rasa geli dah," katanya lagi.
Di ruangan komen, ramai netizen tampil melontarkan pandangan masing-masing mengenai status bahan berkenaan.
Bagaimanapun, terdapat juga netizen yang mendakwa produk itu sememangnya sudah lama tidak mempunyai status halal kerana penggunaan pewarna daripada serangga.
"Aku dulu pernah makan. Lepas tu terlintas nak semak status halal. Bila check rupanya tak halal sebab ada sejenis serangga yang digunakan sebagai pewarna. Tapi sayangnya ramai yang tak tahu dan makan macam biasa," dakwanya.
Seorang lagi netizen pula berkongsi pengalaman apabila menerima biskut jenama sama yang dibeli dari Australia.
MENARIK DIBACA: Bawang rupanya ada strategi pertahankan diri, punca manusia pedih mata ketika menghiris
MENARIK DIBACA: Minuman kafe Amazon paling laris ikut 'ranking', ramai pelancong Malaysia 'repeat'
"Ya, bos saya dari London datang ke Australia dan Singapura pada Mei lepas. Masa kami ada offsite di Singapura, dia bawa biskut jenama tu dibeli di Australia. Saya semak senarai ramuan dan nampak ada 'cochineal', iaitu pewarna merah semula jadi yang diperbuat daripada serangga.
"Berdasarkan fatwa di Malaysia, bahan yang berasal daripada serangga tidak halal untuk dimakan. Sebab itu saya rasa lebih baik kalau pasar raya letakkan label tidak halal pada produk ini supaya pengguna Islam tidak terbeli atau termakan tanpa sedar," katanya.
Dalam pada itu, ada juga warganet mendakwa terdapat dua versi biskut coklat popular itu di pasaran.
"Biskut ni ada dua versi. Yang dari Indonesia harga bawah RM10 sudah pasti halal. Yang dari Australia harga atas RM10 ada bahan diragui tapi sekarang yang Indonesia tu macam dah tak ada sebab dah lama tak nampak," katanya.

Menurut penjelasan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, penggunaan bahan pewarna yang diperoleh daripada serangga kumbang 'cochineal' bagi tujuan makanan dan minuman adalah tidak dibenarkan berdasarkan pandangan jumhur fuqaha yang mengharamkan makan serangga kerana termasuk dalam kategori al-khabaith (benda yang jijik).
Fatwa itu menjelaskan bahawa segala hasil yang berasal daripada serangga adalah haram dimakan kecuali belalang mengikut pandangan mazhab Syafie, Hanafi dan Hanbali.
Bagaimanapun, mazhab Maliki berpandangan serangga adalah halal dimakan.
'Cochineal' merupakan serangga bersisik berbadan lembut, berbentuk bujur, tidak bersayap dan hidup secara berkelompok pada pokok kaktus.
Serangga itu menghasilkan asid carminic yang boleh diekstrak daripada badan serta telurnya sebelum diproses bersama garam aluminium atau kalsium untuk menghasilkan pewarna 'carmine'.
Pewarna semula jadi tersebut digunakan bagi menghasilkan warna merah, merah jambu dan oren serta banyak digunakan dalam makanan, minuman dan produk kosmetik seperti gincu sejak ratusan tahun lalu.
Jumhur ulama daripada mazhab Syafie, Hanafi dan Hanbali berpendapat haiwan dalam kategori al-hasyarat seperti kumbang, lipas, lalat, nyamuk, ular, tikus dan seumpamanya haram dimakan kerana termasuk dalam kategori haiwan yang dianggap jijik berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-A'raf ayat 157.
Pandangan itu turut disokong oleh penjelasan Imam al-Nawawi yang menyatakan haiwan kecil melata seperti kumbang, lipas, labah-labah, cicak dan cacing tergolong dalam kategori yang haram dimakan.