Tak ada laici dalam laicikang, pelanggan terkejut jumpa telur puyuh!
SEBUT sahaja laicikang, pasti ramai terbayangkan minuman manis dan menyegarkan dengan warna jernih bersama bahan seperti laici, jeli, cincau, biji selasih dan nata de coco.
Tahukah anda bahawa resipi sebenar laicikang atau 'leng chee kang' secara tradisional langsung tidak menggunakan laici?
Perkara itu dikongsikan seorang pengguna Threads dikenali sebagai Airina Roslan selepas menikmati pencuci mulut tradisi Cina itu ketika berkunjung ke Ipoh, Perak.

Lebih menarik, dia terkejut apabila mendapati minuman tersebut turut mengandungi telur burung puyuh rebus.
“Minum laicikang kat Ipoh. Baru tahu orang laicikang dengan telur puyuh. Baru tahu ekk!”
Wanita itu pada awalnya menyangka peniaga mungkin tersalah memasukkan bahan kerana itu merupakan kali pertama dia melihat telur puyuh dalam laicikang.
MENARIK DIBACA: Tubuh lemau, banyak angin? Cuba buat air rebusan halia dan serai, badan rasa kembali ringan
MENARIK DIBACA: Atikah Suhaime baru tahu rahsia cantikkan kulit lepas nikah lelaki Cina, kongsi resipi sup ayam mak mentua
Perkongsian itu kemudiannya mengundang pelbagai reaksi netizen yang menjelaskan bahawa penggunaan telur puyuh sebenarnya bukanlah perkara baharu.
Malah resipi asalnya banyak menggunakan herba tertentu sebelum diolah dengan bahan lain bagi menyesuaikannya dengan tekak orang tempatan.
"Leng chee kang asalnya tak ada kena mengena pun dengan laici. Asalnya sup biji teratai tu. Orang kita je yang pergi 'modified' letak laici.

"Original memang ada telur puyuh. Namanya linjigan. Maksudnya lotus seed (linji) soup (gan)," komen netizen lain.
Sekadar info, leng chee kang atau nama lainnya lin chee kang merupakan sejenis pencuci mulut berasaskan biji teratai yang dimasak dalam kuah manis.
Biji teratai juga merupakan bahan utama yang memberikan nama kepada hidangan tersebut.
Antara bahan yang biasa digunakan termasuk buah goji, biji teratai, buah longan kering, bunga lili kering, gula batu, kulat salji, pong tai hai (kembang semangkuk), barli dan biji selasih.