Terliur tengok menu berpantang ala hotel, ibu masak penuh kasih sayang untuk anak baru bersalin
WANITA yang menjalani proses berpantang selepas bersalin memang perlu melalui banyak 'larangan' termasuklah soal pemakanan.
Lebih-lebih lagi jika seseorang itu mengamalkan proses berpantang mengikut cara orang dulu-dulu, memang banyak makanan yang tidak boleh dimakan atas alasan tertentu yang dikaitkan dengan kesan terhadap ibu dan bayi.
Sebagai contoh, ibu berpantang dilarang makan makanan bersifat sejuk, 'tajam', gatal atau berangin kerana dipercayai boleh melambatkan proses penyembuhan luka, menyebabkan bentan atau masuk angin.
Bagaimanapun seorang pengguna di Threads mencuri perhatian netizen selepas berkongsi pelbagai menu lazat yang dinikmati sepanjang tempoh berpantang.

Apa yang membuatkan netizen kagum bukan sahaja kerana menu yang dimakan kelihatan menyelerakan, tetapi juga hiasan dan cara makanan itu dihidangkan seperti di restoran lima bintang.
"Mak cik 'bawang' kalau beranak secara czer, itu tak boleh makan ini tak boleh makan sebab nanti luka bernanah dan lambat sembuh.
"Ini makanan berpantang yang disediakan oleh ibu saya," kongsi wanita tersebut.
Berdasarkan foto menu yang dikongsi di Threads, makanan berpantang yang disediakan bukan sahaja kelihatan sihat malah nampak cantik serta menyelerakan.
Antaranya stik, mi sizling, yee mee Kantonis, 'grilled chicken', pasta dan 'English breakfast', lengkap dengan hidangan sampingan seperti buah-buahan segar.
MENARIK DIBACA: Pastri sanggup bayar mahal, kuih tradisi nak murah gila-gila! Pelanggan disaran ubah mentaliti lapuk
MENARIK DIBACA: Pekat, rasa 'terangkat'! Ini jenis ikan paling sedap dibuat kuah laksa, kembung paling popular
Sementara itu, ibu kepada wanita tersebut juga ada meninggalkan komen pada hantaran tersebut apabila mengucapkan terima kasih atas pujian netizen.
Menurutnya, dia cuma menjalankan peranan sebagai seorang ibu untuk memberikan makanan terbaik buat puteri kesayangannya selepas bersalin.
"Alhamdulillah seronok baca komen di Threads anak saya. Ada yang puji masakan, tanya saya cef ke, malah ada yang bergurau nak 'pinjam' saya.
"Saya cuma seorang ibu yang masak untuk anak perempuan kesayangan. Masakan penuh kasih sayang seorang ibu untuk satu-satunya anak perempuan," katanya.

Tambahnya lagi, dia cuba mempelbagaikan menu berpantang untuk anaknya dan pada masa sama hidangan yang disediakan masih sihat dan berkhasiat.
"Saya cuba pelbagaikan menu berpantang yang sihat dengan kurangkan karbohidrat serta minyak.
"Plating penting supaya hidangan nampak cantik dan anak makan dengan selera.
"Tak perlu jadi cef, bila dimasak dengan kasih sayang ibu, setiap hidangan akan jadi istimewa," jelasnya.

Di ruangan komen, ramai pengguna media sosial berkongsi rasa kagum dan terliur melihat menu berpantang yang disediakan.
"Wow! Ini bukan makanan berpantang, tapi makanan pantang tengok.
"Tu dia! Macam makan kat kedai.
"Ya Allah sedapnya! Semoga syurga untuk ibu awak," antara komen netizen.