Pelajar kongsi 'titik terendah' terpaksa 'nego' harga makanan, kurang 50 sen pun sangat lega!
KEHIDUPAN di universiti bukan sekadar perlu memikirkan soal tugasan dan kuliah tetapi juga aspek kewangan terutama mereka yang bukan dilahirkan dalam keluarga senang.
Bagi pelajar yang kurang mampu, mereka harus memastikan wang yang ada cukup untuk meneruskan kehidupan dan perlu berjimat-cermat termasuk dalam soal makan.
Seorang pelajar berkongsi pengalaman dirinya apabila terpaksa 'berunding' harga dengan penjual makanan kerana kekangan kewangan.

Menerusi hantaran di Threads, pelajar berkenaan berkongsi kejadian yang disifatkan sebagai 'titik terendah' dirinya sebagai pelajar apabila terpaksa melakukan rundingan terhadap harga makanan yang dibeli.
"Titik terendah aku sebagai pelajar adalah 'nego' (berunding) harga makanan," tulisnya.
Dalam perkongsian tersebut, dia menceritakan situasi ketika membeli makanan berharga RM6.50 dan cuba bertanyakan sama ada boleh mendapatkan harga lebih murah yang dipaparkan dalam bentuk dialog.
Peniaga: RM6.50
Aku: RM5.50 boleh?
Peniaga: RM6 boleh
Aku: Okey boleh
MENARIK DIBACA: Masak asam pedas cara orang malas! Tahu-tahu siap, satu famili makan dengan gembira
MENARIK DIBACA: Anehnya 'rupa' sajian 'grilled chicken' di kedai Pantai Timur - "Gaya barat apa ni?"
Walau cuma mendapat diskaun 50 sen, perkara tersebut jelas menggambarkan realiti sesetengah pelajar yang perlu bergelut dalam perkara melibatkan wang atau terpaksa berkira-kira untuk makanan.
Perkongsian itu turut mendapat perhatian dan simpati netizen yang memahami masalah kewangan bagi pelajar kurang mampu.
Antara komen yang ditinggalkan termasuklah doa-doa agar pelajar tersebut menjadi individu berjaya dan diluaskan rezeki suatu hari nanti.

"Moga kau dah kerja nanti kau kaya dik. Ambil sotong, udang tak tengok harga, belanja makan king crab, lobster, ketam pun selamba je. Amin.
"Saya doakan suatu hari nanti awak boleh pergi makan, ambil je apa-apa dan tak payah risau dah. Saya tahu perit sebab pernah 'sponsor' pelajar universiti setiap bulan untuk makan sebab tengok ramai yang ikat perut dan makan sekali sehari.
"Kau memang berani bang. Masa aku belajar dulu pun aku tak pernah lagi 'nego' harga makanan," komen beberapa netizen.

Dalam komen yang ditinggalkan, pelajar tersebut yang kini sedang menjalani latihan industri (praktikal) mengakui malu untuk meminta duit belanja daripada keluarga kerana tidak sampai hati.
"Akhirnya ada juga yang faham, kadangkala sebagai lelaki rasa malu nak minta duit dengan ibu ayah.
"Walaupun boleh minta tapi sebab ego dan rasa kasihan pada keluarga," ujarnya.