"Sejak bila roti jala kita macam ini?" - Chef Wan minta MAS jaga kualiti makanan
SIAPA tidak kenal dengan Datuk Chef Wan, cef selebriti yang cukup lantang bersuara mengenai dunia kulinari, khususnya melibatkan makanan Malaysia.
Terbaharu, Chef Wan atau nama lengkapnya Datuk Redzuawan Ismail meluahkan rasa kecewa terhadap hidangan roti jala yang dimakan ketika dalam penerbangan pulang dari Singapura menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS).
Menerusi perkongsian di media sosial, Chef Wan menyifatkan sajian tersebut sebagai 'mengecewakan' kerana terlalu tebal dan padat sehingga langsung tidak kelihatan seperti roti jala seperti lazimnya.
Lebih mengecewakan, makanan itu dihidangkan di kelas perniagaan dengan bayaran tiket sekitar RM3,500.

Menurut cef dengan pengalaman lebih dari 35 tahun itu, roti jala yang sinonim dengan identiti Malaysia sepatutnya disediakan dengan lebih baik, terutama apabila ia dihidangkan oleh syarikat penerbangan nasional negara.
"Seketul padat macam keropok lekor sebelum digoreng. Sejak bila roti jala kita boleh jadi macam ini?
"Tiket kelas perniagaan saya dari Singapura mencecah kos RM3,500, tapi bila dapat makanan begini rasa sangat kecewa.
"Lebih baik saya beli tiket ekonomi dan makan siap-siap di lapangan terbang," ujarnya.
Pada masa sama, Chef Wan turut menganggap situasi ini sebagai satu pembaziran makanan kerana hidangan yang tidak memenuhi selera akhirnya akan dipulangkan.
MENARIK DIBACA: Jeli nanas bersalut kelapa, cuma guna 4 bahan terhasil manisan sedap dan segar
MENARIK DIBACA: Warung kecil, rasa luar biasa! Awas, makan Laksa Telur Sarang Labu mungkin tak cukup semangkuk
Justeru Chef Wan meminta pihak katerer yang menyediakan makanan untuk MAS supaya lebih mementingkan kawalan kualiti dalam setiap hidangan.
"Tolonglah jangan hidang makanan kita begini. Ini adalah imej negara.
"Roti jala terlalu tebal, tak nampak macam roti jala pun.
"Kalau tak boleh buat roti jala, lebih baik buat lempeng ikan bilis pun sedap," katanya.

Dalam perkongsian itu juga, Chef Wan menegaskan bahawa teguran tersebut adalah berdasarkan pandangan dan pengalaman sebagai pelanggan serta apa yang dirasakan oleh orang ramai.
"We want to support our national carrier but they must get their act together!" katanya.
Pada akhir perkongsiannya, Chef Wan sekali lagi mengajak orang ramai melihat sendiri rupa roti jala berkenaan dan menilai sama ada hidangan itu benar-benar menyerupai roti jala yang sepatutnya.