Teruja jumpa nasi lemak bungkus 'ikat penuh', rupanya orang dulu-dulu dah lama buat!
NASI lemak biasanya dibungkus menggunakan daun pisang, palstik dan surat khabar atau atau bekas polisterina.
Seorang pengguna Threads berkongsi rasa teruja apabila menemui nasi lemak yang dibungkus dalam plastik dan diikat tali seperti minuman ‘ikat tepi’.
Menerusi perkongsiannya, individu berkenaan berkata sepanjang hidupnya, itu merupakan kali pertama dia melihat nasi lemak dijual dengan cara sedemikian.
"Selama hidup ni pertama kali ku jumpa nasi lemak dibungkus sebegini. Tak sangka nasi lemak ikat tepi betul-betul wujud. Ke ikat penuh ek,” tulisnya.
Berdasarkan foto yang dikongsi, nasi lemak berkenaan diletakkan di atas plastik sebelum dibungkus bentuk bunjut dan diikat dengan tali di bahagian atas.

Ada yang menganggap cara pembungkusan tersebut unik, namun tidak kurang juga yang tampil memberitahu bahawa nasi lemak ‘ikat penuh’ sebenarnya bukan perkara baharu dan sudah diamalkan di beberapa tempat sejak dahulu.
Seorang peniaga dari Putrajaya berkongsi bahawa dia sendiri menjual nasi lemak menggunakan kaedah sama dengan pilihan lauk yang ditawarkan juga pelbagai, bergantung kepada harga.
MENARIK DIBACA: Buat malam, pagi makan! Chia seeds yogurt sarapan ringkas, enak dan berkhasiat
MENARIK DIBACA: Lemak manis, lembut 'gedik-gedik'... Kaswi jagung bersantan bikin anda jatuh cinta
"Saya jual nasi lemak biasa RM3, nasi lemak paru atau kerang RM5 dan pilihan sotong atau udang pula harganya RM6," katanya.
Seorang netizen lain pula mendakwa kaedah berkenaan sudah digunakan sejak zaman persekolahannya pada era 1980-an.
"Dah berzaman sejak 80-an di bangku sekolah. Bukan nasi lemak je, nasi goreng ada, mi goreng ada, mihun ada. Tapi gigit bucu plastik la," katanya.

Ada juga netizen berkongsi pengalaman ketika berada di wad Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di mana terdapat peniaga yang datang menjual pelbagai jenis makanan termasuk nasi lemak yang dibungkus dengan cara serupa.
“Dalam wad PPUM ada acik-acik datang ronda jual macam-macam. Nasi lemak dia pun sedap 'style' begini," katanya.
Bagi sesetengah orang, cara pembungkusan nasi lemak seperti ini mungkin kelihatan pelik atau baharu, namun bagi yang pernah membesar dengan makanan daripada gerai tradisional, ia sebenarnya mengimbau kembali kenangan lama.
Tak sangka nasi lemak ikat tepi betul-betul wujud
netizen
Apa yang pasti, perkongsian mengenai nasi lemak ‘ikat penuh’ itu membuktikan bahawa dunia makanan tempatan sememangnya penuh dengan pelbagai cara kreatif untuk membungkus dan menjual hidangan kegemaran ramai.
Malah, bagi sesetengah netizen, melihat semula nasi lemak yang dibungkus sebegitu mungkin mengembalikan kenangan zaman kanak-kanak ketika membeli sarapan di gerai atau kantin sekolah.