Buah keras banyak fungsi, manfaat... Ketahui 5 kesan jika letak lebih dalam masakan
PERNAH tak anda berdepan situasi lebihan bahan dapur atau yang dibeli sebagai stok, akhirnya tersimpan begitu lama gara-gara ia jarang digunakan dalam masakan.
Di Threads, seorang wanita dikenali sebagai Nabila Azhar bertanyakan tentang penggunaan buah keras dalam masakan.
"Hai ibu-ibu, boleh kongsi tak buah keras ni boleh letak dekat masakan apa? Yang lepas saya beli sebab nak masak bakso tapi sampai sekarang tak terguna, sayang pula tengok ia tak terusik," luahnya.
Siapa sangka, pertanyaan mengenai buah keras itu mendapat perhatian ramai yang berkongsi pelbagai cadangan dan menu.
Buah kecil yang jarang-jarang digunakan ini sebenarnya mempunyai banyak fungsi dan rahsia dalam masakan harian.

Di ruangan komen, ramai tampil berkongsi tip dan petua.
Antara perkongsian paling mendapat perhatian ialah kegunaan buah keras sebagai bahan penyedap dan pemekat semula jadi dalam masakan berkuah.
Menurut beberapa pengguna, buah keras boleh dikisar dan dimasukkan ke dalam pelbagai jenis hidangan seperti kari, laksa Johor, kuzi, masak hitam, masak merah, bolognese dan juga sambal ayam gepuk, terutama untuk menjimatkan penggunaan gajus yang agak mahal harganya bagi mendapatkan tekstur pekat.
MENARIK DIBACA: Perut kembung, muka sembap petanda gemuk air... Cuba 2 herba ini, badan terus rasa ringan
MENARIK DIBACA: Dah jemput, kutuk pula! Tuan rumah bengang jiran datang majlis habiskan makanan, tak reti balik
Lebih menarik, ada yang menyifatkan buah keras ini sebagai agen penyedap semula jadi selain MSG (penyedap rasa).
"Pernah masa tu nak masak gulai ayam Padang, rupanya tak ada buah keras, sis ganti dengan macadamia (kacang nut) sebab tekstur lebih kurang sama.
"Saya guna untuk buat sambal cili api merah digoreng bersama bawang putih, buah keras, tomato muda sebiji dibelah empat, dikisar bersama sedikit minyak gorengan satu hingga dua sudu dan garam. Kalau nak letak serbuk MSG silakan, pada saya buah keras dan tomato dah cukup umami. Selamat mencuba!

"Buah keras tiada rasa tapi boleh tingkat hasil kuah, nampak macam kita tak kedekut rencah tumisan.
"Selagi ada tu masuk je dalam masakan apa pun. Gulai, masak lemak, kari pun boleh," antara komen warganet.
Ada juga yang berpendapat buah keras sangat sesuai digunakan dalam masakan bersantan seperti gulai dan masak lemak.
Bagaimanapun, penggunaannya perlu sederhana kerana ada individu yang mungkin sensitif dan boleh mengalami ketidakselesaan perut jika terlalu banyak kuantiti dimasukkan dalam masakan.
"Buah keras sesuai masak masakan bersantan. Letak sikit je sebab ada yang tak tahan boleh menyebabkan sakit perut.
"Kisar saja kemudian simpan dalam peti ais, senang nak guna. Boleh buat masak kari, masak rendang, masak gulai atau masakan yang bersantan dan berempah boleh je," antara komen netizen.
Kesan jika terlalu banyak buah keras dimasukkan dalam masakan
1. Terlalu pahit atau kelat
Buah keras ada rasa lemak semula jadi, tapi jika berlebihan ia boleh tinggalkan rasa pahit terutama jika tak disangai atau dimasak betul.
2. Kuah terlalu pekat, berminyak
Kandungan minyak dalam buah keras sangat tinggi. Sedikit memang membantu pekatkan kuah, tapi terlalu banyak boleh buat masakan terasa 'berat' dan muak.
3. Tekstur pelik
Jika dikisar kasar atau terlebih kuantiti, kuah boleh jadi pelik teksturnya, berlendir macam terlalu likat atau sedikit berdebu dan berpasir di lidah.
4. Sakit perut, cirit-birit
Buah keras mentah mengandungi bahan toksik ringan. Sebab itu perlu dimasak sempurna atau disangai dulu. Kalau terlebih banyak, terutama yang kurang masak, boleh alami loya, muntah atau perut memulas.
5. Rasa rempah lain tenggelam
Dalam rendang, gulai, sambal atau masak lemak, buah keras sepatutnya jadi 'penyatu' kuah. Kalau terlalu banyak, rasa cili, serai, kunyit dan santan boleh hilang.