Dah cuba banyak tip, nasi dimasak tetap cepat basi! Netizen kongsi petua, ada kait dengan mistik
RUNSING dibuatnya apabila nasi dimasak pada sebelah malam basi dan benyai keesokan pagi, sedangkan sebelum ini kejadian sebegini tak pernah berlaku.
Lebih menghairankan apabila pelbagai cara sudah dicuba termasuklah memastikan beras dicuci bersih, periuk dicuci sempurna malah menukar kaedah memasak, namun masalah sama tetap berlaku.
Situasi itu menimbulkan pelbagai tanggapan dalam kalangan masyarakat, ada yang mengaitkannya dengan unsur mistik atau gangguan tertentu di rumah.
Perkongsian seorang wanita di Threads, menarik perhatian warga maya apabila dia meluahkan rasa pelik kerana nasi dimasaknya kini terlalu cepat basi sehingga berair.

Menurut wanita itu, segala tip asas berkaitan kebersihan periuk dan beras sudah cuba dilakukan sebelum memasak.
"Segala tip dah buat, jangan kata beras tak bersih, bekas periuk tak bersih, semua sudah dipastikan dalam keadaan baik sebelum digunakan.
MENARIK DIBACA: 5 cara rendahkan kandungan gula dalam nasi putih... Boleh makan tanpa risau
MENARIK DIBACA: Makan nasi sejuk ada manfaat... Patutlah perut orang dulu 'kebal' jarang gastrik, angin
"Tetapi kenapa nasi mudah basi? Tak logik nasi 'berair' kalau masak malam, esok pagi basi teruk," kongsinya.
Menerusi ruangan komen, dia turut menjelaskan sudah mencuba pelbagai kaedah termasuk memasak nasi menggunakan periuk di atas dapur selain 'rice cooker'.
"Saya faham nasi akan basi tapi dari dulu kalau masak malam pagi boleh makan lagi buat nasi goreng tapi sekarang nasi basi sampai 'berair', rasa macam tak masuk akal," ujarnya lagi.
Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya tampil berkongsi petua bagi mengelakkan nasi cepat basi.
Antara cadangan yang diberikan termasuklah membersihkan periuk nasi dengan lebih teliti terutama bahagian penutup dan celahan periuk sebelum dikeringkan sepenuhnya.
"Try tip saya, basuh periuk macam biasa lepas tu terbalikkan periuk nasi atas api dapur dalam tiga hingga lima minit. Lepas tu lap bahagian dalam, tepi dan tudung periuk dengan tisu. Saya buat macam ni memang jadi," kongsi seorang netizen.

Selain itu, penggunaan beras parboiled juga dikatakan lebih tahan lama dan tidak cepat basi kerana kandungan kanjinya lebih rendah.
"Dah try parboiled? Saya guna memang tahan sampai esok. Dulu selalu juga jadi macam awak, bangun pagi nasi dah basi," tulis seorang lagi pengguna.
Tidak kurang juga yang berkongsi petua tradisional seperti meletakkan daun pandan ketika memasak nasi atau menitiskan sedikit air limau nipis dan cuka makan bagi membantu nasi tahan lebih lama.
Bagaimanapun, ada netizen yang turut menasihatkan wanita itu mendapatkan bantuan perawat Islam kerana bimbang masalah berkenaan berkaitan gangguan mistik memandangkan keadaan nasi yang kerap cepat basi dianggap luar biasa.