Rupanya ada banyak rahsia, petua masak asam pedas 'kick'... Pilih ikut cita rasa
SETIAP orang mempunyai cara tersendiri untuk menghasilkan asam pedas sedap.
Biarpun menggunakan resipi hampir sama, ada yang menambah bahan tertentu atau mengamalkan petua turun-temurun bagi memastikan kuah lebih pekat, beraroma dan lebih 'kick'.
Perkongsian mengenai perkara ini menjadi perhatian selepas seorang wanita meminta pandangan warga maya mengenai bahan rahsia membuatkan asam pedas menjadi lebih sedap.
Menurutnya, dia masih teringat-ingat akan keenakan asam pedas yang pernah dinikmati yang dibuat menggunakan bahan tidak pernah disangka.

"Isteri kepada isteri. Apa bahan rahsia atau bahan wajib korang rasa buat asam pedas jadi sedap sangat?
"Saya pernah makan asam pedas letak daun kari dan hasilnya memang sedap! Sampai sekarang teringat-ingat rasanya," tulisnya menerusi Threads.
Ruangan komen kemudiannya dihujani pelbagai petua daripada netizen yang turut berkongsi resipi keluarga masing-masing.
Ada yang berpendapat penggunaan daun kari mampu memberikan aroma berbeza, tak kurang juga menggabungkannya bersama sedikit rempah kari sehingga menghasilkan rasa unik seakan-akan gabungan kari dan asam pedas.
MENARIK DIBACA: Pastri sanggup bayar mahal, kuih tradisi nak murah gila-gila! Pelanggan disaran ubah mentaliti lapuk
MENARIK DIBACA: Pekat, rasa 'terangkat'! Ini jenis ikan paling sedap dibuat kuah laksa, kembung paling popular
Selain itu, rahsia keenakan asam pedas juga dikatakan terletak pada teknik memasaknya.
Antaranya, tidak menambah air supaya kuah lebih pekat, menumis cili kisar sehingga benar-benar garing dan pecah minyak serta memastikan keseimbangan rasa masam, pedas dan masin sebelum memasukkan ikan.
"Asam pedas ada lada hitam dan tak campur air ketika memasak dan tambah ikan saja.
"Petuanya, masak hari ni, esok baru makan. Rahsia asam pedas bertambah sedap, cubalah.
"Resepi ibu mentua saya, dia letak daun kari dan rempah kari sikit. Jadilah menu kari asam.
"Asam pedas nak 'kick' kena ada belacan, tumis bahan-bahan dan cili kisar biar garing. Tambah cukup asam dan garam, kalau nak sedap lagi boleh letak serbuk perasa serta kiub ayam.

"Masa kisar letak bunga kantan dan tumis sampai pecah minyak sebanyak tiga kali.
"Kena letak lada hitam sedikit dengan belacan. Letak juga halba lima biji dan cili perlu lebih dari bawang. Serai, daun kesum dan lain-lain macam biasa.
"Daun kari dari resepi arwah mak. Ada juga terbaca tip, perlu lebihkan halia," antara komen netizen.
Dalam usaha memasak, sebenarnya tidak istilah salah atau betul kerana paling menjadi keutamaan adalah penggunaan bahan segar dan keseimbangan rasa.