Punca kuali 'mengelupas', 'lari' bentuk rupanya sebab tabiat cuci ketika masih panas
RAMAI dalam kalangan kita akan terus mencuci kuali sebaik selesai memasak lebih-lebih lagi ketika mahu mengemas dapur dengan segera.
Bagaimanapun, tahukah tindakan menjirus air sejuk pada kuali yang masih panas sebenarnya boleh memberi kesan buruk kepada peralatan memasak berkenaan?
Tabiat yang dirasakan mudah dan menjimatkan masa itu sebenarnya boleh memberi kesan kepada keadaan kuali terutama jika air digunakan jauh lebih sejuk berbanding suhu permukaan kuali.
Perkara itu dikongsikan oleh seorang individu dikenali sebagai Wan Amr di Threads yang menjelaskan mengenai 'thermal shock' atau kejutan haba.
Masalah tersebut berlaku apabila sesuatu bahan yang berada pada suhu tinggi mengalami perubahan suhu secara mendadak.
Ketika proses memasak, kuali menerima haba yang menyebabkan logamnya mengembang.

Apabila air sejuk dijirus di permukaan secara tiba-tiba, perubahan suhu pantas menyebabkan logam mengecut dalam tempoh singkat.
Perbezaan suhu yang mendadak itu boleh memberi tekanan kepada struktur kuali dan akhirnya menjejaskan bentuk serta keadaannya.
Antara masalah yang boleh berlaku ialah bahagian dasar kuali menjadi melengkung atau tidak lagi rata.
Keadaan tersebut bukan sahaja menyebabkan kuali kurang stabil ketika digunakan, malah minyak ketika memasak juga boleh berkumpul pada satu bahagian sahaja.
MENARIK DIBACA: Baki 'fresh milk' jangan dibuang, boleh buat kek susu puding... Mudah, cuma guna bahan ringkas
MENARIK DIBACA: Bihun goreng letak cuka petua orang lama... Sedap, lambat basi dan tak lembik
Bagi kuali yang mempunyai salutan 'non-stick' pula, perubahan suhu secara mendadak boleh menyebabkan lapisan tersebut mengalami kerosakan seperti merekah atau mengelupas.
Kuali yang diperbuat daripada 'cast iron' dan 'stainless steel' juga boleh mengalami keretakan akibat kejutan haba meskipun kedua-duanya kelihatan kukuh dan tahan lasak.
Justeru, cara paling mudah untuk mengurangkan risiko tersebut adalah dengan memberi sedikit masa kepada kuali untuk menurunkan suhunya selepas selesai digunakan.
Kuali boleh dibiarkan selama kira-kira lima hingga 10 minit sebelum dicuci seperti biasa.
Jika perlu membasuhnya dengan segera, penggunaan air panas atau suam adalah pilihan lebih sesuai berbanding terus menyiramnya dengan air paip sejuk.
Nampak seperti perkara kecil tetapi tabiat ketika mencuci juga boleh menentukan berapa lama sesuatu kuali mampu bertahan.