Bihun goreng letak cuka petua orang lama... Sedap, lambat basi dan tak lembik
CUKA lazimnya hanya digunakan sebagai bahan tambahan ketika memasak hidangan tertentu untuk memberikan rasa masam seimbang.
Bagaimanapun bagi sesetengah penggemar bihun goreng, mereka mengamalkan petua orang lama dengan memasukkan sedikit cuka ketika memasak sajian ini.
Perkara ini dikongsikan seorang individu di Facebook yang berkongsi fungsi sebenar cuka ketika menggoreng bihun.
"Apa fungsi cuka sebenarnya? Korang goreng bihun letak cuka tak? Saya buat je ikut petua orang tua-tua.
"Ada yang kata bagi tak muak, ada yang kata bagi bihun tahan basi dan tak lembik. Betul ke?" tulisnya.

Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada warganet yang mengutarakan pelbagai pendapat.
Ada yang mengakui tidak pernah memasukkan cuka ketika memasak bihun, namun ada juga yang mengatakan mereka sudah lama mengamalkan petua tersebut.
"Tak pernah letak. Kalau makan bihun dengan perahan limau kasturi memang selalu. Letak cuka ni tak pernah pula," antara komen warganet.
MENARIK DIBACA: Ramai keliru pilih madu tulen, cuma perlu periksa logo khas sebelum beli
MENARIK DIBACA: Wanita anggap 'rare' masak sambal bubuh santan... Ramai tak setuju, dah berzaman nenek moyang buat!
Bagaimanapun menurut seorang netizen, sifat cuka yang berasid mungkin menjadi antara sebab ia digunakan dalam masakan termasuklah bihun.
"Cuka ni bersifat asidik. Asid dalam cuka boleh membantu menghalang pertumbuhan sesetengah mikroorganisma. Jadi saya rasa itulah sebabnya," katanya.
Dalam pada itu, beberapa warganet mengakui memang sudah terbiasa memasukkan sedikit cuka ketika menyediakan bihun goreng.

"Baru masak sarapan sebelum anak-anak pergi sekolah tadi. Memang saya selalu letak. Tak ada rasa masam pun bukan letak banyak. Sedikit saja, lagi lembut dan lagi tahan.
"Saya goreng bihun dengan mi kuning letak cuka ni, ikut resipi dan petua arwah mak saya.
"Tak nak bagi lembik dan lebih tahan lama, selain bagi sedikit rasa masam-masam.
"Sejak tahu memang wajib dah bubuh cuka sikit. Mi jadi lebih lembut dan sedap.
"Saya letak sebab nak seimbangkan rasa manis, masin dan masam sebab saya tak suka letak sos dalam rencah," komen beberapa netizen.