Baru tahu bunga kenanga boleh dijadikan minuman - "Minum sebab nak bagi badan wangi"
BUNGA-bungaan biasanya dijadikan hiasan, mandian atau pewangi semula jadi.
Bagaimanapun tindakan seorang wanita merendam kelopak bunga segar berwarna kuning dalam air untuk dijadikan minuman mencuri perhatian ramai.
Menerusi satu hantaran video yang dikongsi di Threads, wanita berkenaan dilihat menuang air putih ke dalam gelas yang mengandungi bunga kenanga kampung yang mekar dan segar kelopaknya.
"Hari ini tengok bunga dah kuning cantik. Jadi kita pun petik buat air. Minum sebab nak bagi badan wangi, Alhamdulillah!" tulisnya.

Menurut wanita itu lagi, dia mencuci bersih bunga yang dipetik dan kemudian merendamnya dalam air selama 15 minit sebelum ia diminum.
Di ruangan komen, sebahagian netizen terkejut kerana tidak mengetahui bahawa bunga berkenaan boleh dijadikan minuman.
"Seriuslah boleh minum? Saya dulu masa umur empat tahun minum air rendam bunga ini terus pening macam mabuk sebab pahit getah dia. Trauma, sampai sekarang masih terbayang.
"Wah baru tahu boleh minum buat tea. Maksudnya bunganya boleh keringkan dulu dan simpan la kan?
MENARIK DIBACA: Bihun goreng letak cuka petua orang lama... Sedap, lambat basi dan tak lembik
MENARIK DIBACA: Ramai keliru pilih madu tulen, cuma perlu periksa logo khas sebelum beli
"Oh bunga kenanga boleh buat minum, ingat buat mandi je," antara komen netizen.
Tidak kurang juga yang berkongsi pengalaman serta kegunaan bunga berkenaan untuk rambut.
"Saya pula suka ramas bunganya dan letak dalam ikatan rambut. Wangi je.

"Bunga ni saya rebus dengan daun moringa, daun beri dan inai. Air tu buat tonic rambut, rasa sejuk je. Kalau sakit kepala sebab panas cepat-cepat spray air tu kat kepala. Rambut pun wangi bunga 'sayup-sayup' macam tu.
"Mak selalu letak dalam minyak kelapa yang dimasak sendiri untuk sapu pada rambut supaya lambat beruban. Atau letak di bawah bantal tidur," ujar netizen lain.
Selain itu, terdapat juga pelbagai petua dan kegunaan lain bunga ini yang dikongsikan netizen.
"Serius la. Biasa buat mandi atau perfume kereta.
"Bunga ni letak dalam jaring kecil tu campak je dalam kereta semerbak bau.
"Masa kecil dulu arwah tok ada tanam pokok bunga ni. Tapi saya tak suka bau dia. Sekarang jadi suka pula bau ylang-ylang ni. Diffuse essentials oil," komen netizen lagi.
Dalam pada itu, ada juga individu yang memberi peringatan bahawa air bunga kenanga tidak sesuai untuk mereka yang mempunyai masalah darah rendah.