Tak semua orang boleh minum, pesakit buah pinggang dinasihatkan elak air kelapa
AIR kelapa sering dianggap sebagai ‘penawar semula jadi’ bagi pelbagai penyakit kerana kandungan nutrisinya serta sifatnya yang cepat menghidratkan badan.
Di sebalik manfaat tersebut, minuman ini sebenarnya boleh mendatangkan risiko kepada pesakit buah pinggang kronik kerana kandungan kalium (potassium) yang tinggi.
Perkongsian seorang pakar diet dikenali sebagai Natasya Jusoh mendedahkan terdapat pesakit yang berdepan komplikasi buah pinggang akibat kerap mengambil air kelapa.

“Fakta: Pesakit yang ada masalah buah pinggang kena elak minum air kelapa sebab air kelapa tinggi potassium.
“Pesakit keempat saya jumpa, suka sangat minum air kelapa sampai setiap hari. Dia tak tahu, ingat air kelapa tu elok sahaja,” katanya menerusi laman Threads.
Sebagai info, menurut National Kidney Foundation of Hawaii, pesakit buah pinggang kronik mengalami kesukaran untuk menyingkirkan lebihan kalium dalam darah.
MENARIK DIBACA: Air kelapa redakan ‘morning sickness’, cegah jangkitan saluran kencing ketika hamil
MENARIK DIBACA: Ada sebab atlet dan individu alergi kacang perlu elak minum air kelapa
Keadaan ini boleh menyebabkan hiperkalemia (hyperkalemia), iaitu situasi di mana paras kalium dalam darah menjadi terlalu tinggi.
Hiperkalemia boleh memberi kesan serius terhadap kesihatan, antaranya menyebabkan degupan jantung menjadi tidak stabil, malah berisiko mengakibatkan jantung terhenti.
Ini kerana kalium memainkan peranan penting dalam fungsi otot dan sistem elektrik jantung.

Untuk pengetahuan, satu hidangan air kelapa boleh mengandungi sehingga kira-kira 600 mg kalium, jumlah yang agak tinggi terutama bagi individu yang perlu mengawal pengambilannya.
Sehubungan itu, pesakit buah pinggang kronik disarankan untuk lebih berhati-hati dalam memilih minuman harian.
Antara pilihan yang lebih selamat termasuk air kosong, air campuran lemon atau limau, serta teh herba seperti chamomile atau halia.