7 jenis buah ini perlu dimakan pada waktu sesuai, khasiat terjejas jika main 'langgar'
RAMAI menganggap semua buah boleh dimakan pada bila-bila masa tanpa sebarang kesan.
Hakikatnya waktu pengambilan buah memainkan peranan penting dan mempengaruhi manfaatnya untuk tubuh.
Salah waktu, buah yang sepatutnya menyihatkan boleh menyebabkan gangguan seperti kembung perut, masalah tidur malah menjejaskan pencernaan.
Tahukah anda, ada buah yang lebih sesuai dimakan ketika perut kosong di waktu pagi, manakala ada pula yang sebaiknya diambil sebelum tidur atau dielakkan sama sekali pada waktu malam?
Berikut adalah panduan waktu terbaik untuk menikmati tujuh jenis buah popular agar khasiatnya dapat dimanfaatkan secara maksimum.

1. Epal
Sebaiknya epal diambil pada waktu pagi iaitu ketika perut kosong.
Ia memberikan manfaat maksimum kepada kesihatan pencernaan dan tenaga badan.
Epal mengandungi bakteria baik yang membantu menyihatkan usus, yang dianggap sebagai 'otak kedua' manusia.
Kandungan gula semulajadi dan zat dalam epal membantu meningkatkan stamina dan memberikan tenaga untuk memulakan hari.

2. Pisang
Pisang sebaiknya diambil sebelum melakukan aktiviti fizikal dan bukannya sebelum tidur.
Kandungan kalium dan gula yang tinggi pada pisang boleh mengganggu kualiti tidur jika diambil pada waktu malam.
Selain itu pisang juga boleh menyebabkan kembung perut kalau diambil sebelum tidur.

3. Anggur
Anggur sebaiknya diambil sebelum waktu makan berat.
Ini kerana anggur membantu mengoptimumkan penghadaman dan penyerapan nutrien.
Selain itu, makan anggur sebelum waktu makan berat dapat membantu memberikan rasa kenyang lebih awal kerana kandungan air dan seratnya yang tinggi, sekali gus dapat membantu mengawal pengambilan jumlah makanan.

4. Kiwi
Kiwi sebaiknya dimakan sebelum tidur kerana ia mengandungi nutrisi yang membantu meningkatkan kualiti tidur dan memudahkan anda untuk tidur lebih lena.
Kiwi mengandungi serotonin dan sebatian melatonin semula jadi yang membantu mengawal kitaran tidur, membuatkan tubuh lebih tenang, dan mempercepatkan proses untuk tertidur.
Selain itu, kiwi juga membantu mencegah kelaparan di tengah malam tanpa membebankan sistem pencernaan.

5. Oren
Oren atau limau sebaiknya diambil pada waktu pagi.
Ini kerana oren memberikan tenaga segera, menyegarkan badan dan kaya dengan vitamin C untuk merangsang sistem imun.
Pengambilan pada waktu pagi juga membantu memulakan hari dengan penghadaman yang sihat dan tahap tenaga yang tinggi.

6. Mangga
Buah mangga tidak disyorkan untuk dimakan pada waktu malam terutamanya sebelum tidur kerana kandungan gulanya yang tinggi boleh menyebabkan beberapa gangguan kesihatan dan tidur.
Kandungan serat yang tinggi dalam mangga boleh menyebabkan perut tidak selesa atau kembung jika dimakan dalam kuantiti yang banyak sebelum tidur.

7. Tembikai
Tembikai sebaiknya dimakan pada waktu siang kerana ketika itu, sistem pencernaan manusia berada pada tahap paling aktif.
Makan tembikai pada waktu malam boleh menyebabkan gangguan pencernaan seperti kembung perut dan angin.
Selain itu, kandungan air dan gula yang tinggi boleh mengganggu kualiti tidur serta menyebabkan kenaikan gula darah.