Makan durian pakai sarung tangan plastik jejas kesihatan tubuh dan otak? Ini penjelasannya
AMALAN makan durian menggunakan sarung tangan plastik pakai buang dengan alasan untuk mengelak tangan berbau dan juga faktor kebersihan sudah jadi kebiasaan dalam masyarakat kita.
Walaupun amalan ini nampak praktikal, pakar mengingatkan bahawa penggunaan sarung tangan plastik ketika mengendalikan makanan berlemak mungkin berisiko meningkatkan pemindahan mikroplastik ke dalam makanan.
Lebih membimbangkan, penyelidikan terkini mendapati mikroplastik bukan sahaja boleh masuk ke tubuh, malah zarah-zarah halus itu turut ditemui dalam tisu otak manusia.

Menerusi perkongsian sebuah video di Facebook, satu kajian yang diterbitkan pada 2026 mendapati sarung tangan pakai buang yang biasa digunakan untuk mengendalikan makanan berpotensi melepaskan mikroplastik apabila saling bersentuhan.
Apa yang lebih menarik perhatian penyelidik ialah, mikroplastik dilepaskan dalam jumlah jauh lebih tinggi apabila sarung tangan bersentuhan dengan bahan berasaskan minyak atau makanan yang tinggi kandungan lemak dan salah satunya adalah durian.
Malah kajian itu mendapati simulasi makanan berlemak menghasilkan pelepasan mikroplastik sekitar dua hingga tiga kali ganda lebih banyak berbanding simulasi menggunakan air.
MENARIK DIBACA: Bosan masak lauk sama? Cuba buat karahi daging... Rasa pedas, masam berlemak
MENARIK DIBACA: Ayam masak mentega versi Che Sayang kuah pekat berkilat, mudah je nak buat!
Walaupun ramai menganggap durian hanya kaya dengan gula, hakikatnya buah itu turut mengandungi kandungan lemak semula jadi yang agak tinggi berbanding kebanyakan buah-buahan tropika lain.
Isi durian mempunyai tekstur berkrim kerana mengandungi lemak tumbuhan yang menjadikannya lebih berminyak.
Disebabkan sifat ini, terdapat kebimbangan penggunaan sarung tangan plastik ketika memegang durian boleh meningkatkan pemindahan mikroplastik dari sarung tangan ke isi buah berbanding jika memegang makanan lain yang kurang berlemak.
Bagaimanapun kajian tersebut tidak menguji durian secara khusus, sebaliknya, ia menunjukkan bahawa makanan yang mengandungi minyak atau lemak berpotensi menerima lebih banyak pemindahan mikroplastik.

Walaupun penyelidikan mengenai kesan mikroplastik terhadap kesihatan manusia masih berkembang, mengurangkan penggunaan plastik yang tidak perlu ketika mengendalikan makanan merupakan langkah pencegahan yang wajar.
Pada masa yang sama, orang ramai tidak perlu panik kerana setakat ini belum ada bukti kukuh bahawa makan durian menggunakan sarung tangan plastik secara sekali-sekala akan menyebabkan penyakit atau membawa kepada pengumpulan mikroplastik dalam otak.