[V] Bukan sekadar aksesori dapur! Besi kecil ini bantu tambah zat besi dalam makanan
RAMAI menganggap zat besi hanya boleh diperoleh daripada makanan seperti hati, kerang atau daging merah.
Menerusi satu perkongsian petua, seorang individu yang menggemari budaya masakan Jepun mendedahkan terdapat satu teknik memasak diamalkan masyarakat negara matahari terbit itu bagi membantu meningkatkan kandungan zat besi dalam makanan.
Kongsi individu itu, dia terkejut apabila mengetahui kewujudan iron cast atau besi tuang khas yang boleh dimasukkan dalam periuk ketika memasak nasi, sup atau rebusan.
Menurutnya, kaedah itu bukan sahaja mudah, malah tidak mengubah rasa mahupun bau makanan.

"Kenapa tak ada orang beritahu benda ni dari dulu? Saya baru tahu orang Jepun ada satu hack menarik dalam masakan iaitu letak besi khas (iron cast) dalam nasi atau sup semasa memasak.
"Ringkas je konsep dia, untuk menambah zat besi dalam makanan. Tak ubah rasa dan bau pun.
"Nampak macam pelik kan? Tapi ilmu macam ni buat saya kagum dengan cara mereka jaga pemakanan," kongsinya di Threads.
Tambahnya, apabila besi khas itu dimasukkan ke dalam air, sup atau nasi yang sedang dimasak, sejumlah kecil zat besi akan dilepaskan ke dalam makanan dan dipercayai membantu meningkatkan pengambilan mineral tersebut.
Individu itu tetap mengingatkan bahawa teknik berkenaan tidak sesuai diamalkan oleh semua orang.
MENARIK DIBACA: Wanita kongsi minum air sarsi bantu legakan demam, ramai mengaku dah berzaman amal petua sama
MENARIK DIBACA: Penjelasan punca kejadian isi ayam bertukar hijau... Nampak geli tapi boleh dimakan!
"Hack ini sangat bagus untuk orang biasa atau yang ada masalah kurang darah (anemia). Tetapi bagi individu yang menghidap thalassemia, ia tidak digalakkan kerana badan mereka tidak mampu mengendalikan lebihan zat besi," jelas lanjut.
Menurutnya lagi, individu normal akan menyingkirkan lebihan zat besi secara semula jadi melalui sistem badan, namun keadaan itu berbeza bagi pesakit thalassemia.
"Kalau individu itu tak mengalami thalassemia, badan akan buang lebihan zat besi itu.
"Tetapi pesakit thalassemia tidak dapat berbuat demikian. Zat besi berlebihan terkumpul dalam badan dan lama-kelamaan boleh merosakkan organ penting seperti hati dan jantung," katanya.
Perkongsian itu turut disokong oleh beberapa netizen malah ada yang ingin mencuba cara memasak nasi itu.
"Masa saya belajar ijazah dalam teknologi makanan memang ada bab ini. Ada juga restoran di luar negara mengamalkan teknik ini, terutama ketika memasak daging.

"Nak cuba juga. Saya belajar satu lagi teknik iaitu letak sedikit cuka ketika masak nasi boleh membantu menurunkan indeks glisemik (GI) nasi, jadi lebih mengenyangkan dan kurang rasa kembung selepas makan.
"Boleh juga dapatkan sumber zat besi daripada makanan kaya dengan vitamin C seperti limau kasturi, limau nipis, lemon atau cuba makan nanas bersama makanan kaya dengan zat ini seperti daging dan hati," kongsi netizen.
Menurut kajian, teknik menggunakan besi tuang khas seperti Lucky Iron Fish memang dibangunkan bagi membantu meningkatkan kandungan zat besi dalam masakan.
Kajian di Kemboja mendapati besi tersebut mampu melepaskan sejumlah kecil zat besi ke dalam makanan apabila direbus bersama nasi atau sup selama kira-kira 10 minit.