Jangan risau daun kesum tak ada! Ini pilihan bahan alternatif nak sedapkan asam pedas
"DAUN kesum tak ada, nak ganti daun apa ya?"
Demikian persoalan seorang wanita di Facebook yang bertanyakan pandangan orang ramai mengenai pengganti bahan penting itu untuk memasak asam pedas.
Mana tidaknya, lauk asam pedas yang cukup popular dalam kalangan masyarakat Malaysia lazimnya dimasak menggunakan daun kesum bagi menaikkan aroma sajian tersebut.
Bagaimanapun, ketiadaan bahan utama itu rupanya bukanlah masalah besar buat 'kaki masak' apabila netizen tampil memberikan pelbagai idea dan alternatif di ruangan komen.
Antara cadangan yang paling mencuri tumpuan adalah penggunaan daun kari yang dikatakan mampu memberikan aroma unik serta rasa sedap tersendiri.

"Daun kari pun sedap tau cubalah, saya biasa sahaja buat," kongsi seorang warganet.
Dalam pada itu, terdapat juga netizen berpendapat pilihan daun pengganti sebenarnya bergantung kepada jenis ikan yang digunakan terutamanya bagi mengurangkan bau hanyir.
MENARIK DIBACA: Pernah jadi makanan unik, netizen kongsi pengalaman makan telur penyu - “Macam hingus lembik”
MENARIK DIBACA: Ramai 'menekan-nekan' minta resipi, wanita kongsi cara buat sos ala Kewpie!
"Tengok jenis ikan. Kalau ikan duri, belukang atau sembilang sesuai letak daun limau purut sebab ikan itu jenis berbau. Tetapi kalau ikan-ikan isi putih tak payah letak kecuali bunga kantan dan daun kesum. Kalau tidak, rasa kuahnya tak sedap," jelas salah seorang netizen.
Pandangan berkenaan turut disokong oleh warganet lain yang menyarankan kombinasi bahan penyedap alternatif sekiranya memasak jenis ikan yang hanyir.

"Daun kesum untuk hilangkan ikan hanyir seperti pari dan sembilang, kalau bukan ikan hanyir tak letak pun tak apa. Untuk ikan hanyir boleh ganti dengan bunga kantan atau daun limau purut," tambahnya.
Bagi mereka yang menggemari resipi ringkas, penggunaan serai dan daun kunyit turut menjadi pilihan popular.
"Saya letak serai sahaja sis.
"Saya guna daun kunyit," komen warganet.
Ada yang mengesyorkan bahan unik yang jarang digunakan ramai tetapi memberikan rasa masam semula jadi yang menyegarkan.
"Daun rosella. Bunga merah itu," kongsi individu berkenaan.