Sedap tak semestinya selamat, tauge boleh jadi punca jangkitan dan keguguran
MEMANG enak dapat makan char kue tiaw basah bersama tauge rangup dalam setiap gigitan.
Gabungan mi lembut, rasa berasap serta tekstur tauge menjadikan hidangan ini kegemaran ramai.
Namun buat penggemar char kue tiaw dengan tauge separuh masak atau mentah, ada perkara penting perlu diberi perhatian kerana ia boleh mengundang risiko kesihatan jika tidak dimasak dengan sempurna.

Menurut perkongsian Public Health Malaysia (PHM), tauge merupakan antara sayur berisiko tinggi tercemar bakteria berbahaya seperti Salmonella dan E. Coli disebabkan cara penanamannya.
Tauge biasanya ditanam dalam persekitaran lembap dan bersuhu hangat sebenarnya menghasilkan suasana ideal untuk pembiakan kuman serta bakteria berbahaya tanpa disedari.
MENARIK DIBACA:Elok makan telur kalau kena bisul, bukan penyebab jangkitan lambat sembuh
MENARIK DIBACA: Quesillo mula jadi pilihan, ada beza dengan puding karamel
Kaedah memasak tauge secara ‘flash fry’ atau digoreng kilas demi mengekalkan tekstur rangup sebenarnya tidak cukup panas untuk membunuh kuman sepenuhnya.
Cara memasak seperti mencelur sekejap atau memasak separuh masak juga meningkatkan risiko jangkitan kerana bakteria masih boleh hidup dalam tauge tidak dimasak dengan baik.

Golongan berisiko tinggi seperti ibu mengandung, kanak-kanak, warga emas serta pesakit dengan sistem imun rendah amat terdedah kepada komplikasi serius termasuk keracunan makanan, jangkitan teruk dan keguguran kandungan.
Walaupun tauge dimasak lembik dianggap kurang ‘surr’ atau tidak rangup, sebenarnya cara pengambilan jauh lebih selamat kerana kuman berbahaya dapat dihapuskan melalui proses memasak.
Sehubungan itu, bagi menjaga kesejahteraan kesihatan, dinasihatkan agar orang ramai untuk memberi keutamaan terhadap keselamatan makanan berbanding tekstur, terutama ketika menikmati hidangan kegemaran seperti kue tiau goreng.