Perap guna susu, 2 kali celup tepung rahsia ayam goreng rangup di luar, 'juicy' di dalam
AYAM goreng bersalut tepung rangup di luar, dengan isi di dalam lembut dan 'juicy' semestinya menjadi kegemaran seisi keluarga.
Kini, pelbagai jenis ayam goreng rangup boleh didapati di pasaran, namun versi 'homemade' masih menjadi pilihan kerana rasanya boleh disesuaikan mengikut cita rasa.
Seorang pengguna Threads dikenali sebagai aleeya.r berkongsi resipi ayam goreng enak yang boleh disediakan sendiri di rumah dengan bahan-bahan mudah didapati.
Malah, resipi dikongsikan ini dikatakan setara dengan ayam goreng jenama popular dan mereka yang pernah mencubanya jatuh hati.
Jadi tunggu apa lagi, jom cuba resipi ayam goreng ini untuk pikat hati insan tersayang!

Bahan-bahan
Perapan ayam
- Susu segar secukupnya
- Serbuk cili secukupnya
- Garam secukupnya
- 1 sudu besar kicap cair
- 1 sudu besar herba oregano
- 1 sudu besar serbuk paprika
Salutan ayam
- 1kg tepung serbaguna
- 500g tepung jagung
- 2 sudu besar sebuk cili
- 1 sudu besar serbuk paprika
- 2 sudu besar herba oregano
- 1 sudu besar serbuk pati ayam
- 1 sudu besar serbuk penaik
- 1 sudu besar serbuk lada hitam
- Serbuk cili kasar (ikut kesukaan)
- 2 biji telur
- Garam secukup rasa
MENARIK DIBACA: Bapa 'kaki pancing', Farihin Arnia tak kisah makan 'seafood' 2 minggu berturut-turut
MENARIK DIBACA: Cuma guna gula... Ini cara simpan udang kekal segar berbulan-bulan, rasa tak terjejas
Cara penyediaan
Perapan ayam
- Tuang susu segar secukupnya sehingga menutupi permukaan isi ayam.
- Kemudian campurkan semua bahan perapan dan gaul sebati. Biarkan seketika.
Salutan ayam
- Tuang semua bahan dalam mangkuk berasingan dan gaul sebati.
- Kemudian guna penyepit ambil ayam diperap tadi dan celup dalam bancuhan tepung.
- Ayam yang sama celup semula dalam bancuhan perapan tadi.
- Lakukan celupan tepung sekali lagi secara rata guna tangan. Pastikan kesemua bahagian ayam disalut dengan tepung.
- Goreng ayam dalam minyak panas sehingga kekuningan, angkat dan tos seketika.
- Ulang langkah sama untuk semua ayam.
- Siap untuk dinikmati bersama sos pilihan.