Ringkas dan premium... Wajib cuba pasta sardin berkrim, satu famili pasti suka!
PASTA adalah hidangan ringkas yang mudah disediakan, namun dengan sentuhan kreatif dan gabungan bahan yang tepat, ia mampu bertukar menjadi menu premium yang membuka selera.
Bagi penggemar makanan berasaskan sardin, resipi pasta sardin berkrim ini wajib dicuba kerana menggabungkan aneka rasa dalam satu hidangan, menjadikannya satu menu cukup sempurna.
Lebih menarik, penggunaan pes mi goreng memberikannya rasa unik dan aroma lebih menyelerakan selain menjadikan kuah pasta lebih ‘kick’.
Bagi anda yang mahu cuba memasak pasta sardin berkrim ini, Kuali kongsikan resipi oleh pempengaruh masakan terkenal, Ahmad Hazwan Ramli atau hazwan.rl di akaun Threads miliknya.

Bahan-bahan
- 1/2 bungkus spageti
- 3 ulas bawang putih (dicincang)
- 1/2 biji bawang holland (dicincang)
- 1 paket pes mi goreng
- 1 tin kecil sardin
- 1 mangkuk kecil krim masakan
- Segenggam bayam
- Tomato ceri
- cili padi (dihiris)
- 1 biji limau nipis
- Keju parmesan
- Daun parsley (dihiris)
- Garam
MENARIK DIBACA: 'Port' makan di Indonesia jadi bualan! Ramai rela bayar mahal, tolak 'street food' - "Cirit, muntah baru kau tahu langit tinggi rendah"
MENARIK DIBACA: Kafe Jepun jual latte pada suhu paling ekstrem di dunia, kena habiskan dalam masa 40 saat sebelum beku
Langkah penyediaan
- Panaskan minyak lalu tumiskan bawang putih dan bawang holland yang dicincang sehingga naik bau.
- Masukkan satu paket pes mi goreng dan tumis sehingga pecah minyak.
- Tuang satu tin sardin, kemudian masukkan air secukupnya bersama satu mangkuk kecil krim masakan dan gaul sehingga rata.
- Masukkan pasta yang telah direbus bersama bayam, tomato ceri dan cili padi yang dihiris untuk rasa pedas.
- Perah limau nipis untuk seimbangkan rasa pedas dan masam.
- Masukkan keju parmesan, daun parsley dan perasakan dengan garam secukupnya.
- Gaul sehingga rata, siap untuk dihidangkan.