Dubai Chewy Cookie jadi fenomena di Korea Selatan, pelanggan sanggup beratur berjam-jam
JIKA awal tahun 2024, coklat Dubai pernah mencetuskan fenomena global, kini muncul pula pencuci mulut baharu yang seakan sama tetapi dengan sentuhan berbeza.
Di Korea Selatan, ratusan orang sanggup berdiri berjam-jam semata-mata untuk mendapatkan Dubai Chewy Cookie atau dikenali sebagai dujjonku.
Biskut bertekstur kenyal itu menjadi buruan ramai sehingga ada kafe dan bakeri terpaksa mengehadkan jualan berikutan kehabisan stok hampir setiap hari.
Malah, ada premis yang hanya menjualnya pada hari tertentu bagi mengelakkan kesesakan pelanggan.

Dujjonku merupakan interpretasi Korea terhadap coklat Dubai yang pernah viral sebelum ini.
Ia menggabungkan kataifi (pastri filo berserabut) dan krim pistachio, sebelum dibaluti lapisan marshmallow.
Taburan serbuk koko di bahagian luar pula memberikan rasa pahit manis yang seimbang, selain menjadikan pencuci mulut ini kelihatan lebih menarik.
Populariti dujjonku semakin mencanak selepas penyanyi K-pop terkenal, Jang Won-young dari kumpulan IVE, berkongsi gambar pencuci mulut tersebut di media sosial.
MENARIK DIBACA: Berita baik menjelang Ramadan, Kerajaan kaji kemungkinan masukkan barangan basah dalam senarai Sara
MENARIK DIBACA: Pelanggan bayar 'air' bukan isi, Youtuber dedah taktik kotor peniaga King Crab
Sejak itu, Dubai Chewy Cookie terus menjadi kegilaan, khususnya dalam kalangan anak muda dan pencinta makanan viral.
Dari segi harga, sebiji dujjonku dijual sekitar 7,000 hingga 13,000 won (RM20–RM35) untuk berat kira-kira 70 gram.
Walaupun agak mahal, ramai menganggap ia berbaloi kerana menawarkan pengalaman makan yang unik kepada penggemarnya.
Selain Korea, populariti dujjonku mula tersebar ke Jepun, Indonesia, dan bakal dieksport ke Taiwan serta Amerika Syarikat.