Bekas cef peribadi dedah diet, menu harian Ronaldo! Sukar orang biasa nak ikut
NAMA Cristiano Ronaldo sememangnya sinonim dengan tahap kecergasan luar biasa dan menjadi idola peminat bola sepak di serata dunia.
Walaupun kini sudah mencecah usia 41 tahun, bintang kelahiran Portugal itu masih kekal cergas di atas padang.
Bersama kelab Al Nassr FC musim ini, Ronaldo berjaya menjaringkan 26 gol dalam pelbagai perlawanan, malah semakin hampir untuk mencapai sasaran peribadi 1,000 gol sepanjang karier profesionalnya.
Di sebalik prestasi hebat itu, rupa-rupanya Ronaldo sangat menjaga pemakanan hariannya!
Ya, perkara tersebut didedahkan oleh bekas cef peribadinya, Giorgio Barone yang berkongsi rahsia diet diamalkan pemain bertaraf dunia berkenaan.
Menurut Barone, pola makan Ronaldo sangat seimbang dan menitikberatkan makanan sihat.

"Dia makan pelbagai jenis makanan tapi semuanya sihat. Untuk sarapan biasanya dia ambil avokado bersama kopi, telur dan tanpa gula," katanya.
Difahamkan untuk makan tengah hari pula, Ronaldo lebih gemar mengambil hidangan seperti ayam atau ikan yang disertakan dengan sayur-sayuran.
MENARIK DIBACA: Kreativiti Sheila Rusly 'angkat' menu biasa ke tahap luar biasa dipuji - "Masak mi segera pun terliur"
MENARIK DIBACA: Kecoh sebiji tomato RM20! Selepas dikecam pasar raya Kanada akui berlaku kesilapan
Menariknya, dia tidak mengambil karbohidrat daripada makanan berasaskan tepung seperti roti atau pasta, sebaliknya keperluan karbohidrat dipenuhi menerusi pengambilan sayur-sayuran.
Kongsinya lagi, makan malam Ronaldo pula lebih ringan, biasanya terdiri daripada menu ikan atau daging dalam bentuk fillet bersama sayur.
Lebih mengejutkan, siapa sangka bintang bola sepak terkenal itu langsung tidak minum susu dan air berkarbonat.

Barone berpendapat tabiat minum susu tidak selari dengan amalan semula jadi malah menyifatkan manusia sebagai satu-satunya makhluk yang terus minum susu haiwan hingga dewasa.
Walaupun mengelak daripada minum susu, Ronaldo masih mengamalkan pengambilan organ dalaman seperti hati, jantung dan otak.
Barone menyifatkan makanan tersebut sebagai ‘superfood’ kerana kaya dengan zat besi dan nutrien penting.
"Cristiano memang suka hati. Ia sangat baik untuk kesihatan dan penting dalam diet," katanya.
Jadi, sudah terdedahlah rahsia di sebalik kecergasan Ronaldo yang kekal berprestasi walaupun usia semakin meningkat.