[V] "Bagi pasta, croissant saya tetap cari nasi" - Scha Alyahya mengaku 'tekak Melayu'
MEMASUKI usia 43 tahun, pelakon Scha Alyahya mengakui perlu mengubah tabiat makan demi menjaga kesihatan diri dengan lebih baik.
Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya bagaimanapun berkata, dia belum mampu untuk meninggalkan nasi sebagai sumber karbohidrat.
Menurut anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu, sebagai individu 'tekak Melayu', dia tidak boleh hidup tanpa nasi, terutama nasi putih walaupun terdapat pilihan sumber makanan lain yang lebih sihat.

"Kalau sebelum ini saya boleh makan nasi tiga kali sehari tapi sekarang kena kawal kepada sekali sehari sahaja walaupun kadang-kadang 'terlepas' juga.
"Saya tak boleh tinggalkan nasi sebab saya tekak Melayu!
"Awak tak perlulah beri saya pasta atau croissant, memang saya tetap akan cari nasi," katanya.
Bercerita tentang pilihan yang lebih sihat iaitu beras perang (brown rice), isteri kepada pengacara, Awal Asaari itu hanya mampu menggelengkan kepala dan memberitahu beras alternatif itu tidak menepati seleranya.
MENARIK DIBACA: Aaron Aziz ada prinsip diet sendiri, sarapan pagi dianggap tak begitu penting
MENARIK DIBACA: [V] Ramai sanggup beratur panjang demi nasi goreng 'simple', tukang masak tak menang tangan
"Kawan saya baru-baru ini suruh saya tukar kepada beras perang.
"Saya cakap tak boleh. Memang tak boleh. I like my rice!" katanya ketawa.
Menyentuh tentang lauk kegemaran, tanpa berselindung ibu kepada dua orang cahaya mata itu mengakui kelemahannya terhadap makanan bergoreng.

Kata bekas juara Dewi Remaja 2005/2006 itu, dia sedar pengambilan makanan bergoreng memang tidak sihat dan perlu menyeimbangkan diet hariannya dengan pengambilan sayur-sayuran segar.
"Kalau bab lauk, saya akui kelemahan saya iaitu dengan makanan bergoreng.
"Saya tahu makanan bergoreng ini tidak elok untuk kesihatan.
"Jadi untuk 'sedapkan' hati, saya seimbangkan dengan pengambilan sayur-sayuran, buah-buahan dan serat. Jadi tidaklah rasa bersalah sangat," ujarnya.