[V] Mi goreng sotong Ayishaah Corner air tangan asli ‘Pulau Mutiara’, kalau pekena memang berpeluh!
WARGA di sekitar Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur pasti tahu kewujudan sebuah warung menjual mi goreng sotong iaitu tepatnya di Ayishaah Corner.
Warung terletak di Jalan 1/56 itu kelihatan biasa-biasa sahaja, tetapi sebenarnya menjadi lokasi persinggahan penggemar hidangan mi goreng sotong dengan rasa asli Pulau Pinang yang menggiurkan.
Siapa pernah ke Padang Kota di George Town pasti pernah merasai keenakan mi goreng sotong yang dijual di sana.
Mi digoreng ala Mamak dengan rona merah menyala dan diletakkan sambal sotong melimpah sering membuatkan orang luar merindui hidangan yang berada jauh nun di utara.

Namun mi goreng sotong di warung Ayishaah Corner tidak kalah enaknya - Resipinya adalah air tangan asli turun-temurun oleh pemiliknya yang berasal dari Pulau Pinang.
Menurut pemiliknya yang mesra disapa uncle, dia berhijrah dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur sejak tahun 2000 dan membuka warung menjual mi goreng sotong.
"Saya memang asal dari Tanjung (kawasan pulau) di Pulau Pinang. Sejak tahun 2000 saya berhijrah ke Kuala Lumpur dan mula berniaga secara kecil-kecilan.
"Saya telah berniaga di Taman Setiawangsa sejak lebih lapan tahun lalu. Sebelum ini saya pernah membuka warung mi goreng sotong di beberapa buah kawasan di sekitar Lembah Klang," katanya yang turut dibantu anak dan menantu.
MENARIK DIBACA: [V] Susah nak dapat masakan kampung di Singapura, Hanna Delisha cukup gemar ikan patin tempoyak dan budu
MENARIK DIBACA: [V] Sedap, murah pula... Tak hairan nasi ayam kicap di Pantai Dalam KL ini jadi bualan ramai
Kuali yang berkesempatan merasai sendiri mi goreng sotong yang disediakan mengakui keenakan rasa hidangan tersebut.
Buat penggemar makanan pedas, mi goreng sotong di warung Ayishaah Corner pasti akan menepati selera anda.
Harganya pula iaitu RM9 sepinggan memang cukup berbaloi.
Selain mi goreng sotong, warung Ayishaah Corner turut menawaran menu lain seperti rojak pasembor, mi rebus, cendol dan ABC yang juga tidak kalah enaknya.
Ayishaah Corner dibuka dari pukul 12 tengah hari sehingga 6 petang pada setiap hari, kecuali Jumaat (tutup).