KUALI | Trending

Dari ratu kosmetik ke dapur... Datin Isma dah ‘ready’ nak pencen, buka restoran Kantan sebab anak-anak - “Ada syarat perlu mereka penuhi”

Lead Image

SIAPA tidak kenal dengan figura dengan perwatakan penuh karisma ini di media sosial apatah lagi kelincahannya menyediakan pelbagai juadah di dapur.

Kini Datin Isma Rohaiza bukan sahaja hebat di dapur rumahnya tetapi kini pemilik Restoran Kantan yang cukup terkenal dengan pelbagai juadah dari Pantai Timur.

Mungkin ada yang tidak tahu tetapi Isma bukan baharu dalam dunia perniagaan malah dia adalah pengasas jenama kosmetik popular iaitu Tia Amelia.

Hanya selepas lebih 20 tahun membina perniagaan dalam bidang kecantikan, Isma melebar sayap dalam dunia kulinari dengan membina jenama Kantan yang kini mempunyai dua cawangan di Lembah Klang.

Isma masih berdiri sebagai seorang usahawan atas dorongan dan galakan daripada keluarga.

Namun, perjalanan wanita berusia 50-an itu untuk membina Kantan sebenarnya bukanlah perancangan yang lahir dari lubuk hatinya. 

Isma ketika ditemui Kuali semasa majlis perasmian cawangan kedua Kantan di Sunway Nexis, Kota Damansara, Petaling Jaya berkata, dia tidak pernah terfikir untuk menceburkan diri dalam perniagaan makanan walaupun berpengalaman luas dalam dunia bisnes.

Sebaliknya dia mahu bersara memandangkan dua cahaya matanya kini sudah dewasa dan mahu menghabiskan sisa hidupnya untuk bersenang-senang sahaja.

"Kalau ikutkan hati saya nak bersara (dalam bisnes) memandangkan usia saya bukan lagi muda. Saya sudah berumur 50-an.

MENARIK DIBACA: Hampas kopi jangan dibuang, 'ubat' semula jadi halau nyamuk

MENARIK DIBACA: AMK Fried Chicken bukan sekadar ayam goreng, kualitinya pula setanding jenama terkenal

"Jadi pada usia sekarang saya saya nak rehat-rehat sahaja dan pergi bercuti," kata wanita asal Kelantan itu.

Namun, niat tersebut terbantut selepas dipujuk oleh anak-anak iaitu Nik Amelia dan Nik Edrus untuk terjun dalam bisnes makanan dengan membuka Kantan. 

Kata mereka, rugi kalau tidak mencuba memandangkan Isma sendiri sudah memiliki sejumlah besar penggemar yang mengikuti laman Instagramnya iaitu @masakwithpassion.

"Saya memang suka memasak sebab itu saya buka akaun Instagram Masak With Passion untuk berkongsi resipi dan masakan terutama dari Pantai Timur dengan jumlah pengikut hampir mencecah setengah juta.

Isma bersyukur dan gembira selepas berjaya membuka cawangan kedua Kantan di Sunway Nexis, Kota Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.

"Jadi, anak-anak saya kata rugi kalau saya tinggalkan begitu sahaja tanpa melakukan apa-apa.

"Kebetulan anak-anak mempunyai kelulusan dalam bidang perniagaan dan dari situlah timbulnya keinginan untuk saya buka Kantan sekali gus mengetengahkan masakan Pantai Timur," katanya.

Namun, sebelum bersetuju untuk membuka cawangan pertama Kantan di Plaza Damas, Sri Hartamas, Kuala Lumpur, Isma menetapkan syarat kerana tidak mahu kembali penat penguruskan perniagaan.

"Syaratnya dari segi pengurusan, saya serahkan pada anak-anak. Tugas saya hanya sediakan resipi dan ajar sukatan untuk menu disediakan.

Nasi kerabu dan nasi dagang menjadi antara menu signatur di Kantan.

"Alhamdulillah selepas dua tahun membina jenama Kantan di Plaza Damas, saya kini membuka cawangan Kantan kedua di Sunway Nexis, Kota Damansara.

"Sejak Kantan diperkenalkan, saya sangat bersyukur dan terharu dengan sambutan yang diberikan pelanggan, terutama penggemar masakan air tangan saya sendiri," ujarnya.

Di Kantan sememangnya terkenal dengan signatur masakan dari Pantai Timur antaranya laksam Kelantan, nasi kerabu dan nasi dagang yang dihasilkan dengan resipi asli.

"Kantan juga menyediakan manisan yang sangat diminati ramai iaitu lompat tikam.

"Kalau di sini (Lembah Klang), susah nak dapat lompat tikam yang betul-betul sedap, sama seperti air tangan orang tua-tua buat di kampung," kata Isma.

Saya dan suami cuma penasihat, Kantan adalah bisnes anak-anak.

Datin Isma

Walaupun lokasi kedua-dua cawangan Kantan dibuka di kawasan yang terkenal dengan taraf hidup tinggi, namun Isma memberi jaminan harga setiap hidangan yang ditawarkan cukup berpatutan dan berbaloi.

Kata Isma, dalam perniagaan makanan dia meletakkan kualiti sebagai asas paling utama iaitu dari segi rasa dan tidak kedekut bahan.

"Kalau orang dengar tentang lokasi Kantan iaitu di Sri Hartamas dan Kota Damansara, mesti ingat harga makanan yang saya tawarkan mahal. Tapi sebenarnya tidak.

"Bagi saya, harga makanan yang saya tawarkan tidak terlalu mahal dan berbaloi dengan portion besar.

"Ramai pelanggan saya berpuas hati kerana hidangan yang kami sajikan banyak dan cukup mengenyangkan," tegasnya.

Laksam dengan rasa original dari Kelantan.

Selepas membuka dua cawangan Kantan, Isma berhasrat untuk terus melebarkan sayap jenama restorannya itu bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di peringkat antarabangsa.

"Insya-Allah, saya dan suami cuma penasihat kepada anak-anak. Bisnes Kantan ini adalah bisnes mereka (anak).

"Untuk perancangan akan datang, saya sebagai ibu sudah tentu mahu melihat Kantan ada di setiap negeri.

"Bahkan jika ada rezeki, saya juga mahu melihat Kantan dikenali bukan sahaja di Malaysia, tetap juga diseluruh dunia," katanya mengakhiri perbualan.

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Trending

62 air balang percuma sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Trending

Kisah bapa dibuang kerja undang sebak, percubaan berniaga laksa Johor buah hasil - “Bukan sekadar mengenyangkan tapi jadi rezeki halal”

Terhangat