Kisah bapa dibuang kerja undang sebak, percubaan berniaga laksa Johor buah hasil - “Bukan sekadar mengenyangkan tapi jadi rezeki halal”
DIBUANG kerja terutama di usia tidak muda pasti memberi impak besar, lebih-lebih lagi jika menjadi penanggung tunggal kepada keluarga.
Itulah dialami seorang bapa berusia 40-an baru-baru ini kehilangan pekerjaan mengambil langkah berani dengan memulakan perniagaan Laksa Johor dari rumah, di Taman Pulai Indah, Skudai, Johor.
Menerusi perkongsian Threads, lelaki dikenali sebagai Abdul Rashid ini memberitahu biarpun berat dugaan terpaksa ditanggung, dia memaksa dirinya bangkit kerana perlu menanggung anak-anak masih kecil.

“Baru saja kena buang kerja... umur dah 40-an, anak-anak masih kecil. Berat rasa hati, tapi saya nekad untuk bangkit.
“Dengan air tangan sendiri, saya mulakan bisnes kecil dari rumah - jual Laksa Johor, resipi warisan keluarga.
“Semoga setiap mangkuk laksa bukan sekadar mengenyangkan, tapi juga jadi rezeki yang halal untuk keluarga kecil saya,” luahnya.
MENARIK DIBACA: Ambil tahu 6 istilah makanan Jepun ini serta maksudnya
MENARIK DIBACA: 6 restoran ini sudah wujud sebelum Malaysia merdeka, masih beroperasi sehingga kini
Kongsinya, laksa berkenaan dijual pada RM10 sebekas dan boleh ditempah menerusi talian +60177637077.
Perkongsian itu turut mendapat perhatian warga maya mahu memberikan sokongan termasuk usahawan Anas Zahrin yang membuat tempahan 100 bungkus laksa untuk tujuan sedekah.
“Salam tuan, saya ada DM (direct massage) di IG (Instagram). Saya nak order (pesan) 100 bungkus.
“Esok tuan sedekahkan dekat mana-mana ya. Semoga Allah lipat gandakan rezeki tuan sekeluarga.
“Setiap yang berusaha menyemai pasti akan dapat rasa manis menuai. Tahniah bang, saya tak nampak benda lain, saya nampak seorang ayah dan suami bertanggungjawab berusaha untuk keluarga kecil walau apa cara,” antara komen netizen.