Rupanya bukan dipetik sebelum matang, baby carrot inovasi petani elak buang lobak merah tak laku
SEBUT sahaja 'baby carrot' pasti ramai terbayang lobak merah dalam saiz yang kecil dan comel – malah ia boleh dimakan terus tanpa perlu dikupas kulitnya.
Pasti ramai juga menyangka ia dituai sebelum baby carrot sempat membesar dan hakikatnya ia tidak seperti disangka.
Sebaliknya, baby carrot dalam saiz kecil dan comel telah diproses daripada lobak merah bersaiz normal yang dipotong dan dibentuk menjadi lebih kecil serta saiz seragam.

Idea baby carrot ini dicetuskan oleh seorang petani dari California, Amerika Syarikat, bernama Mike Yurosek sekitar tahun 1980-an.
Mike berdepan masalah apabila hampir 40 peratus hasil tanaman lobak merah miliknya ditolak pasar raya hanya kerana bentuknya tidak sekata, terlalu panjang, bengkok, atau kelihatan kurang menarik.
Daripada membiarkan hasil itu terbuang, Mike bereksperimen menghasilkan potongan lobak bersaiz kecil yang lebih kemas dan menarik.
MENARIK DIBACA: Pelik tapi benar! Kentang ‘anak’ tomato hasil perkahwinan genetik 9 juta tahun lalu
MENARIK DIBACA: Donut susu Malaysia ‘serang’ Indonesia... Habis licin dalam 2 jam, stesen TV sampai buat liputan
Caranya mudah, lobak merah bersaiz besar dipotong pendek, kemudian dikupas kulit luar menggunakan mesin sehingga kelihatan licin, sekata.
Maka lahirlah produk yang kini dikenali sebagai baby carrot — potongan lobak merah bersaiz kecil yang lebih praktikal untuk dimakan dan cantik dipandang.
Eksperimen Mike ternyata berjaya. Daripada hasil yang dulunya dianggap ‘tak laku’, kini ia bertukar menjadi produk premium yang digemari ramai.
Walaupun harganya lebih mahal berbanding lobak biasa, permintaan terhadap baby carrot kian melonjak dek keunikan rupa bentuknya.

Sejak itu, baby carrot mula dikomersialkan secara meluas dan menjadi popular di seluruh dunia.
Malah, ada juga segelintir yang percaya ia lebih berkhasiat daripada lobak merah biasa meskipun kandungan nutriennya sama.
Hari ini, baby carrot bukan sahaja dianggap lebih mudah dimakan sebagai snek sihat, tetapi juga simbol inovasi bijak seorang petani memanfaatkan lebihan hasil tuaian.